Rabu, 17 September 2014 | 2:05pm
TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah. - Foto Azhar Ramli

MOSTI sasar 15 peratus kadar pengkomersialan produk penyelidikan

GEORGETOWN: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyasar 15 peratus daripada produk hasil penyelidikan dapat dikomersialkan berbanding lapan hingga 10 peratus sekarang.

Timbalan Menteri, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata kementerian juga menyasar untuk mengkomersialkan 360 produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dalam tempoh enam tahun menjelang 2020.

"Kita berharap semua produk penyelidikan yang dihasilkan dapat dijual dalam pasaran dan untuk memastikan perkara itu menjadi kenyataan, kita harus meningkatkan kadar pengkomersialan," katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Bahan Berfungsi dan Metalurgi 2014 di sini hari ini.

Bagi mencapai sasaran itu setiap tahun negara perlu menghasilkan sekurang-kurangnya 60 produk R&D yang berjaya dikomersialkan di pasar raya, kedai serba guna dan premis perniagaan bagi memastikan inovasi yang dihasilkan tidak sia-sia.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kerajaan memperuntukkan RM3.2 bilion untuk geran pembangunan R&D dan bagi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), peruntukkan sebanyak RM850 juta diluluskan untuk dibelanjakan untuk tujuan sama, katanya.

"Kita tidak ingin kekal sebagai negara dengan identiti 'pengguna teknologi' sebaliknya mahu berubah menjadi negara pengeluar teknologi," katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata kementerian akan melancarkan satu saluran televisyen pada tahun depan bagi mengetengahkan usaha kementerian itu dalam bidang inovasi dan sains.

Katanya, sesi ujian saluran itu yang berasaskan sains yang menyamai 'National Geographic Channel' akan dibuat pada November bagi mendapat maklum balas penonton.

"Kami akan melancarkan saluran itu dalam bentuk rancangan dua jam untuk sesi ujian sebelum pelancaran rasminya pada awal tahun depan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X