Jumaat, 26 Jun 2015 | 10:23am

MH17: 5 negara utama siasatan gesa PBB tubuh tribunal

NEW YORK: Lima negara yang menyiasat nahas pesawat MH17 milik Malaysia Airlines yang didakwa ditembak jatuh tahun lalu di Ukraine, hari ini meminta Tribunal Antarabangsa mendakwa mereka yang bertanggungjawab.

Menteri Luar Australia, Julie Bishop, berkata kerajaannya komited untuk bekerjasama dengan dengan Malaysia, Ukraine, Belanda dan Belgium, serta komuniti antarabangsa besar yang lain untuk memastikan keadilan diberikan kepada keluarga mangsa.

"Perkara ini sudah dibincangkan oleh negara yang berkaitan," katanya.

Ukraine dan negara Barat lain mengesyaki Penerbangan MH17 itu dimusnahkan oleh roket atas permukaan ke udara oleh tentera Russia atau puak pemisah yang menguasai tempat pesawat terhempas di timur Ukraine.

Pembuat BUK iaitu roket sistem pertahanan udara melaporkan bulan ini bahawa MH17 ditembak jatuh oleh versi roket yang lama yang tidak digunakan lagi oleh tentera Russia tetapi masih berada di Ukraine.

Diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lima negara berkenaan mahu Majlis Keselamatan PBB mewujudkan tribunal PBB yang boleh mengheret mereka yang bertanggungjawab.

Minggu lalu, pakar undang-undang tiba di New York untuk menemui penasihat lembaga perundangan PBB mengenai perkara itu.

Seorang lagi diplomat berkata, pakar undang-undang itu menyerahkan satu draf untuk pembentukan kepada tribunal itu dan draf resolusi kepada PBB untuk menguatkuasakannya.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ramlan Ibrahim, semalam memberitahu pemberita bahawa perkara itu sudah dikemukakan untuk semakan majlis.

"Kami berharap dapat mengangkat resolusi draf itu pada peringkat Majlis Keselamatan Julai ini. Kami berharap yang terbaik," katanya.

Ramlan berkata, Malaysia juga pada dasarnya sudah mengadakan perbincangan dengan Russia 'namun agak awal untuk menyatakan' sama ada Russia akan menyokong resolusi itu. - AP

36 dibaca
Berita Harian X