Jumaat, 26 Jun 2015 | 5:45pm

Masyarakat perlu bersama tangani penagihan dadah - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu mengelak daripada bersikap 'not me syndrome', sebaliknya bersama memainkan peranan dalam memahami, mengambil tindakan dan menjadi barisan hadapan dalam menangani isu dadah di komuniti masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penglibatan seluruh anggota masyarakat dalam membanteras penagihan dadah sangat penting kerana ia adalah elemen utama dalam menjayakan misi negara bebas dadah.

"Ibu bapa dan keluarga adalah entiti paling kecil dalam masyarakat yang perlu memainkan peranan paling serius dalam memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan gejala dadah.

"Masalah dadah boleh menimpa sesiapa sahaja, ia merentas status dan latar belakang serta kepercayaan seseorang," katanya dalam perutusan bersempena Hari Anti Dadah Antarabangsa 2015, di sini hari ini.

Selain itu, katanya, kejayaan membanteras masalah dadah juga memerlukan pendekatan yang seimbang dan menyeluruh dengan dasar yang relevan berdasarkan amalan-amalan terbaik dan 'evidence-based'.

"Sudah sampai masanya kita menentukan dasar berkaitan dadah yang dinamik mengikut perkembangan masalah dadah semasa," kata Najib.

Katanya, ancaman dadah berbahaya dan bahan-bahan yang mengkhayalkan berubah dengan pesat mengikut arus perkembangan teknologi dan cara hidup manusia.

Justeru, katanya, pembangunan ekonomi negara juga perlu selari dan seimbang dengan pembangunan sosial modal insan.

"Oleh itu pelaburan sosial perlu dipertingkatkan segera meliputi pendidikan, pembangunan individu dan keluarga, pembangunan rohani dan jasmani serta peningkatan daya tahan dalam semua program dan aktiviti," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan melihat perkara itu dengan teliti kerana matlamat untuk mencapai status negara maju pada 2020 akan terbantut jika masalah keruntuhan moral dan sosial menjadi barah dalam kalangan anak-anak muda.

Tema sambutan hari Antidadah Antarabangsa pada tahun ini ialah 'A Message of Hope: Drug Use Disorders Are Preventable and Treatable', yang memberi harapan bahawa penyalahgunaan dan penagihan dadah boleh dicegah dan dirawat.

- BERNAMA

Berita Harian X