Jumaat, 26 Jun 2015 | 9:42pm
PENGARANG Eksekutif Berita/ Rencana/Digital, Ahmad Zaini Kamaruzzaman (kanan) bersama Wakil-wakil Universiti selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Yayasan Bank Rakyat dengan BH, UPM, UUM, UKM, UNIKL dan JTM di Dewan Tun ABdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat. - Foto Addam Yusoff

YBR peruntuk RM24.6j taja pelajar sambung pengajian

 

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan RM24.6 juta untuk menaja pelajar menyambung pengajian dan menganjurkan pelbagai program pendidikan membabitkan pelajar sekolah dan universiti pada tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YBR, Dr Roselan Baki, berkata sebanyak RM18 juta diperuntukkan untuk menaja pelajar menyambung pengajian dalam bentuk pinjaman boleh ubah manakala RM6.6 juta lagi digunakan untuk menganjurkan pelbagai program pendidikan untuk pelajar bermula dari tadika hingga ke peringkat universiti.

"Tajaan itu merangkumi program diploma kemahiran, ijazah dan sarjana di beberapa universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan universiti luar negara membabitkan bidang perniagaan, kewangan, kejuruteraan, farmasi, komunikasi dan animasi.

"Tahun ini, lebih 20,000 pelajar mendapat manfaat daripada program pendidikan dan penajaan yang dianjurkan YBR. Buat pertama kalinya juga, tahun ini kita menaja 10 pelajar menyambung pengajian peringkat ijazah di United Kingdom dalam pelbagai bidang pengajian," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama beberapa agensi dan institusi pengajian tinggi termasuk BH, di Menara Bank Rakyat , di sini, hari ini.

BH diwakili Timbalan Pengarang Kumpulannya, Badrulhisham Othman. Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Saiful Yazan Sulaiman; Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin; Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar.

YBR sudah menjalin kerjasama dengan BH sejak 2003 melalui penganjuran program bimbingan peperiksaan Seminar Didik Rakyat BH untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diadakan di seluruh negara.

Berita Harian X