Sabtu, 27 Jun 2015 | 7:19am

Perihal GLC ambil alih aset daripada jatuh ke tangan asing

Kunta Kinte nak bincang pasal Tenaga Nasional Berhad (TNB) cadang ambil alih projek jana elektrik 3B daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Kita semua dah tahu cerita 1MDB jadi tak payahlah Kunta Kinte ulang. Oleh sebab masalah yang dihadapinya, 1MDB tak ada daya nak jalankan projek itu.

Pada bulan Februari tahun lepas, Suruhanjaya Tenaga pilih 1MDB sebagai pemenang konsesi projek itu. Dua syarikat penjana bebas lain yang turut mohon adalah YTL Power dan Malakoff Berhad. Penjana berkapasiti 2,000 megawatt itu guna arang batu dan yang terletak dekat stesen penjana bebas Jimah yang juga milik 1MDB di Negeri Sembilan.

Ia dianggar akan makan belanja RM11 bilion. Asalnya 1MDB miliki 70 peratus modal projek itu, manakala bakinya dipegang oleh syarikat Jepun, Mitsui & Company. Disebabkan apa yang sedang berlaku kepada 1MDB, pembelian projek 3B oleh TNB tidak begitu dialu-alukan oleh pelabur. Mereka takut TNB dipaksa atau diguna untuk selamatkan 1MDB.

Jadi apabila Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili sahkan pengambilalihan itu pada 18 Jun, esoknya harga saham TNB di Bursa Malaysia merudum 6.5 peratus dan ditutup 4.3 peratus lebih rendah.

Kesan jangkitan dan limpahan

Ada dua perkara yang ahli ekonomi dan pelabur takut apabila krisis 1MDB berlaku. Satu, kesan jangkitan dan satu lagi kesan limpahan (systemic), iaitu apa yang berlaku di 1MDB merebak dan jangkit syarikat lain, khususnya institusi kewangan dan pelaburan yang beri pinjaman kepadanya.

Jadi pelabur takut masalah yang 1MDB hadapi akan jangkit TNB apabila ia beli projek 1MDB itu. Pasal itulah jaminan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Azman Mohd, yang urus niaga itu bukan langkah menyelamatkan 1MDB sangat penting kepada pelabur.

Kita pun tak mahu TNB atau mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diguna atau dipaksa selamatkan 1MDB sebab kesan kepada negara dan rakyat jelata mungkin tidak baik. Tapi, kalau ada mana-mana GLC yang nak beli atau ambil alih harta dan projek 1MDB atas dasar perniagaan dan pada harga pasaran, itu kita tak boleh halang. Malah, adalah lebih baik GLC beli atau ambil alih daripada jatuh ke tangan orang asing.

Kita kena faham sebab apa yang TNB buat boleh bagi kesan buruk kepada kita dan negara kalau tarif elektrik dinaikkan atau daya saing TNB jatuh. Maksudnya kos TNB beli projek 1MDB dibebankan kepada kita. Kita selalu dengar dakwaan tarif elektrik di negara kita murah. Jawapannya ia dan tidak bergantung pada ukuran mana kita guna.

Kalau kita tengok dari sudut perangkaan kasar memanglah tarif elektrik kita nampak murah iaitu antara 7.09 hingga 14.76 sen Amerika sekilowatt bergantung pada kegunaan. Tapi kalau kita banding dengan negara lain dan kita ukur pula pendapatan perkapita kita dengan pendapatan perkapita mereka, kita akan dapati sebenarnya tarif elektrik kita tidaklah murah.

Tarif elektrik negara maju rendah

Di Singapura tarifnya antara 25 hingga 28 sen, tapi pendapatan perkapita Singapura lebih tiga kali ganda tinggi daripada kita. Jadi ikut kuasa membeli, tarif elektrik di Singapura murah. Di Thailand tarif antara 6 hingga 13 sen dan Indonesia purata 8.75 sen. Tapi pasal Thailand dan Indonesia lebih miskin daripada kita, maka nisbah tarif mereka adalah tinggi.

Di banyak negara maju, tarif elektrik mereka lebih rendah daripada kita secara mutlak dan secara perbandingan. Di Korea Selatan misalnya, tarif terendah hanya 5.5 sen sekilowatt, Sweden 8.33 sen, Norway 15 sen, Perancis 19.39 sen dan United Kingdom (UK) 20 sen. Semua negara ini berganda-ganda lebih kaya daripada kita.

Sebab itulah kita tak mahulah apa yang TNB buat atau disuruh buat akan burukkan lagi beban pengguna. Kita kena ingat, apabila tarif elektrik naik, harga barang dan perkhidmatan mesti naik sebab boleh kata semua kegiatan perlu guna elektrik. Wallahuaklam.

Berita Harian X