Ahad, 28 Jun 2015 | 4:02pm

Polis Kota Kinabalu keluar 107 saman pelbagai kesalahan lalu lintas

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu mengeluarkan 107 saman pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Samseng Jalanan dan mabuk di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu awal pagi tadi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata dalam operasi bermula 11.30 malam dan berakhir 4 pagi tadi itu, sebanyak 40 kenderaan diperiksa secara teliti termasuk 25 motosikal.

"Polis turut menyita empat motosikal dan sebuah kereta atas pelbagai kesalahan jalan raya di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dua individu turut ditahan untuk siasatan lanjut selepas didapati gagal dalam ujian alkohol, katanya.

Chandra berkata dalam operasi lima jam membabitkan seorang pegawai dan 16 anggota itu, sebanyak 42 individu diperiksa, termasuk dua wanita.

Katanya, walaupun aktiviti samseng jalanan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu kian berkurangan dan terkawal, namun Op Samseng Jalanan akan diteruskan bagi membendung kegiatan itu daripada berleluasa.

- BERNAMA

Berita Harian X