Isnin, 29 Jun 2015 | 12:12am

RM500 sekilo punca kelah merah liar makin pupus


HARGA ikan kelah merah liar yang boleh mencecah lebih RM500 sekilogram, membuatkan spesies itu diburu oleh pengusaha kedai ikan hiasan di negara ini.

TOR Tambroides, nama saintifik bagi ikan kelah. - Foto Lano Lan

Spesies dengan nama saintifik Tor Tambroides ini juga mendapat permintaan tinggi bagi dijadikan hidangan eksotik di restoran mewah, terutama di Sabah dan Sarawak, selain dieksport.

Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Air Tawar, Glami Lemi, Jamaludin Ibrahim, berkata ikan kelah merah liar berbeza daripada yang dibela disebabkan faktor genetik dan persekitaran semula jadi.

PEGAWAI Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Air Tawar, Glami Lemi, Jamaludin Ibrahim. - Foto Hazreen Mohamad

"Ikan kelah merah liar lebih cantik dengan warna merahnya yang terang, berbanding baka yang dibela di kolam atau tangki. Tekstur isi dan rasanya juga dikatakan lebih enak, sekali gus membolehkan penggemarnya mengetahui sama ada ia jenis liar atau bela," katanya kepada BH.

Beliau berkata, hingga kini, spesies kelah merah dalam keadaan semula jadi atau liar hanya terdapat di beberapa kawasan hulu sungai di Terengganu, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

DUA zon sesar aktif di Lahad Datu merentasi kawasan komersial, industri dan penempatan penduduk, sekali gus menambah kebimbangan mengenai kerosakan teruk yang mungkin terjadi. - Foto Edmund Samunting

Bagaimanapun, katanya, kelah merah di negeri ini yang menjadikan hulu Sungai Kenaboi, Jelebu, sebagai habitat berdepan ancaman daripada segelintir Orang Asli yang mendiami kawasan berhampiran.

Katanya, permintaan benih spesies itu daripada komuniti peminat ikan hiasan, termasuk pengusaha kedai akuarium, menyebabkan segelintir Orang Asli di kawasan sungai terbabit menjadikan aktiviti menangkap kelah merah itu sebagai sumber pendapatan.

"Bilangan anak kelah merah yang dijual bukan sedikit. Kebanyakan pembeli membeli secara pukal dan saya pernah bertemu pembeli yang datang ke sana untuk membeli 1,000 ekor anak ikan kelah pada harga RM5 seekor.

"Malah, Orang Asli terbabit mempunyai tangki khas untuk menyimpan anak ikan itu di kawasan rumah mereka selama beberapa bulan sebelum dijual," katanya.

Beliau berkata, penangkapan anak kelah merah tanpa kawalan boleh menyebabkannya pupus tidak lama lagi, kerana kadar pembiakan spesies itu yang perlahan dan pembesarannya yang lambat berbanding ikan lain.

Katanya, Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN) tidak menyenaraikan kelah merah sebagai spesies terancam, namun hakikatnya ikan itu kini diancam kepupusan di kawasan semula jadi negara ini.

PUSAT pembiakan ikan air tawar Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Air Tawar, Glami Lemi di FELDA Titi, Jelebu. - Foto Hazreen Mohamad

 

Beliau berkata, langkah mewartakan santuari dianggap sebagai cara paling berkesan bagi mengelakkan kepupusan kerana dapat menambah populasi ikan dan pada masa sama, menghalang aktiviti penangkapan oleh orang awam.

"Pada tahun 1997, kajian kita mendapati spesies kelah merah pupus di Sungai Petang, Tasik Kenyir, Terengganu. Kita tidak menemui seekor pun spesies ikan itu pada waktu itu. Keadaan itu dipercayai berlaku kerana orang bebas masuk ke kawasan itu untuk menangkap ikan.

AKTIVITI melepaskan benih ikan kelah di Taman Alam Liar Negeri, Lembah Jemaloi, Jelebu. - Foto Dzulkeffli Mustapha

BENIH ikan kelah dilepaskan di sungai. - Foto Dzulkeffli Mustapha

"Selepas beberapa tahun, kita membuka santuari kelah merah dengan menambah semula benih spesies berkenaan dan menguatkuasakan larangan penangkapan ikan di kawasan terbabit. Kini, santuari itu adalah antara yang terkenal di negara ini," katanya.

 

INFO:

  • Harga untuk restoran, antara RM150-RM300 sekilogram
  • Harga untuk tujuan hiasan, lebih RM500 sekilogram
  • Pembiakan kelah merah berlaku ketika musim hujan pada hujung tahun dan memerlukan habitat yang tidak terganggu

KEGHAIRAHAN SEGELINTIR PIHAK `MENIMBA' KEKAYAAN KHAZANAH DI SUNGAI KENABOI MENYEBABKAN SPESIES IKAN KELAH MERAH ITU SEMAKIN KURANG DI KAWASAN YANG DULUNYA MENJADI HABITAT UTAMANYA. APAKAH YANG DILAKUKAN KERAJAAN NEGERI BAGI MENANGANI MASALAH INI DAN PADA MASA YANG SAMA, MENJAGA KEPETINGAN PENDUDUK ORANG ASLI DI KAWASAN SEKITAR, YANG MENJANA PENDAPATAN DENGAN MENJUAL IKAN INI? IKUTI SIRI SETERUSNYA, ESOK.

Berita Harian X