Isnin, 29 Jun 2015 | 2:51pm

Kanak-kanak mangsa dera selesai jalani bedah usus

PENGARAH Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan (kiri, depan). - Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang cedera serius dipercayai didera, selesai menjalani pembedahan usus hari ini, kata Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan.

Beliau berkata pembedahan itu perlu dilakukan memandangkan usus kanak-kanak itu mengalami masalah, iaitu berpintal sehingga mengakibatkan makanan tidak dapat bergerak dengan betul.

"Dia telah dibawa masuk ke dalam bilik pembedahan pada jam 10.30 pagi ini dan pembedahan selesai satu jam kemudian. Keadaannya stabil dan dalam masa terdekat ini, dia tidak boleh makan apa-apa sehingga saluran usus itu pulih," katanya pada sidang berita di pejabatnya di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Mohamad Hanafi Maulud.

Dr Ghazali berkata pihak hospital sedang memberikan rawatan rapi terhadap kanak-kanak berkenaan dan tiada sesiapa dibenarkan bertemunya termasuk anggota keluarga.

"Kita tidak benarkan anggota keluarga atau sesiapa sahaja kecuali ibu mangsa untuk melawat kerana kita ingin berikan rawatan yang baik dan bila kanak-kanak itu sudah pulih baharu kita benarkan," katanya.

Mengenai keadaan tulang kanak-kanak berkenaan yang patah, Dr Ghazali berkata proses pemulihan dijangka tiga hingga enam bulan tetapi bergantung kepada tahap kesihatan mangsa.

"Bagi tulang rusuk yang patah kita tidak buat pembedahan kerana apabila dibuat CT Scan terhadap kanak-kanak itu, didapati tiada organ dalaman yang rosak.

"Kita tidak tahu lagi sama ada dia akan mengalami kecacatan kekal ataupun tidak ... kita tidak boleh buat andaian lagi kerana ia hanya boleh dikesan setelah dia berjalan," katanya.

Kanak-kanak itu disyaki didera di Rantau Panjang, Pasir Mas sehingga patah 10 tulang rusuk, tulang belakang, bahu kanan selain tulang pinggulnya berubah kedudukan.

Mangsa turut mengalami radang paru-paru selain kesan trauma pada hati, selain lebam di dada, perut dan belakang.

Kanak-kanak malang itu ditemui ibu kandungnya dalam keadaan wajahnya cengkung manakala seluruh badannya didapati lebam dan dipenuhi parut, sementara kepalanya pula didapati luka manakala belakangnya dalam keadaan membongkok dipercayai akibat patah tulang belakang, rusuk serta paha.

Kanak-kanak itu kini ditempatkan di HRPZII untuk rawatan dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak itu ditahan reman oleh polis selama empat hari sejak malam tadi untuk siasatan lanjut.

Pasangan berusia 39 dan 25 tahun itu ditahan di hadapan sebuah restoran di Jalan Bayam di sini pada jam 9 malam oleh anggota Cawangan D9 dan D8 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001. - BERNAMA

Berita Harian X