Isnin, 29 Jun 2015 | 6:35pm

Sedania mulakan dagangan sulung pada 40 sen

Azrin (kiri) dengan Pengarah Eksekutif SEDANIA Innovator Berhad, Firoz Mohd Noor dan Pengerusi SEDANIA Innovator Berhad, Tan Sri Abdul Halim Ali) semasa SEDANIA Innovator Berhad dalam satu majlis di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad penyenaraian di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur. - Foto Ghazali Kori
Azrin (kiri) dengan Pengarah Eksekutif SEDANIA Innovator Berhad, Firoz Mohd Noor dan Pengerusi SEDANIA Innovator Berhad, Tan Sri Abdul Halim Ali) semasa SEDANIA Innovator Berhad dalam satu majlis di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad penyenaraian di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Pemboleh perkhidmatan mudah alih, Sedania Innovator Bhd, memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada 40 sen, premium dua sen berbanding harga terbitan 38 sen.

Sejumlah 1.42 juta saham diurusniagakan pada pembukaan.

Pengarah Urusan, Datuk Azrin Mohd Noor, gembira dengan prestasi saham syarikat itu berikutan keadaan ekonomi global yang lembap sekarang.

"Dengan penyenaraian itu, kami kini boleh menumpukan kepada kontrak pembaharuan lima tahun dengan Celcom Axiata Bhd, yang melanjutkan perkongsian kami hingga 2020.

"Kami sudah pastinya gembira dengan kontrak ini dan pelbagai pembaharuan semula kontrak sejak 2014. Ia mencerminkan perkhidmatan bernilai dan menambat perhatian yang disediakan oleh platform Perkongsian Masa Berbual (ATS) kami kepada pelanggan rakan kongsi Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) kami," katanya selepas majlis penyenaraian itu.

Tawaran awam permulaan (IPO) Sedania terdiri daripada terbitan awam 51.5 juta saham baharu, yang mana sembilan juta diperuntukkan bagi pengundian awam, satu juta bagi para pengarah dan kakitangan yang layak dan selebihnya bagi tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

IPO itu mengumpulkan RM19.6 juta hasil dengan RM6.8 juta digunakan bagi modal kerja, RM4.1 juta sebagai perbelanjaan pemasaran, RM4 juta bagi perbelanjaan modal, RM2.5 juta bagi penyelidikan dan pembangunan dan RM2.2 juta bagi menampung keperluan penyenaraian.

Azrin berkata, rakan kongsi MNO lain syarikat itu termasuklah Maxis Bhd dan Robi Axiata yang berpangkalan di Bangladesh, dan ia merancang meluaskan capaian platform ATS terus kepada pengguna.

Beliau berkata, platform ATS Sedania memproses purata setiap hari 268,000 transaksi pada 2001, yang meningkat kepada 324,000 pada 2014.

Oleh kerana model perniagaan syarikat berkait langsung dengan kuantiti transaksi, Azrin berharap para pelabur menilai Sedania berdasarkan kepada ini, serta jumlah rakan kongsi MNO yang dimilikinya.

"Dengan hasil daripada IPO, usaha pemasaran kami akan membantu kami meningkatkan lagi kuantiti transaksi dan memacu prestasi kewangan kami.

"Kami sedang berunding dengan lebih banyak MNO ketika ini dan akan mengumumkan rakan kongsi baharu pada masa hadapan," katanya.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X