Rabu, 17 September 2014 | 7:58pm

5,000 usahawan sertai GREAT 2014


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir pada Majlis Gabungan Rakan Usahawan Aspirasi Terhebat (GREAT 2014) di Magic, Cyberjaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

CYBERJAYA: Kira-kira 5,000 usahawan tempatan menyertai Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT 2014) yang berlangsung selama empat hari mulai hari ini.

GREAT 2014 yang dianjurkan Kementerian Kewangan dan Unit Strategi Nasional (NSU) di Pusat Global Inovatif dan Kreatif Malaysia (MaGIC) di sini, menjadi landasan kepada bakal usahawan dan usahawan sedia ada berinteraksi selain meningkatkan rangkaian hubungan dengan pelabur serta penyedia dana pinjaman.

Inisiatif itu juga menyaksikan penyertaan pakar dan penggerak industri pemakanan, pertanian, teknologi, gaya hidup, seni kreatif dan keusahawanan wanita.

Timbalan Pengarah Kanan NSU, DR Aminuddin Hassim, berkata lebih 20 agensi kerajaan dan syarikat swasta menyertai acara itu bagi menyediakan platform berhubung perniagaan sekali gus memberi gambaran lengkap untuk memula dan memperkasa perniagaan.

Acara itu yang kali pertama dianjurkan bertujuan mendidik, menggalak, membangunkan dan meraikan usahawan negara yang menjadi pemacu kepada ekonomi Malaysia.

"GREAT 2014 menyediakan ekosistem lengkap dan membolehkan usahawan serta bakal usahawan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai satu-satu perniagaan dalam pelbagai sektor," katanya sempena pelancaran GREAT 2014.

Pelancaran GREAT 2014 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lebih 10,000 pengunjung dijangka menghadiri program yang bakal melabuhkan tirainya pada Sabtu ini.

16 dibaca
Berita Harian X