Selasa, 30 Jun 2015 | 11:01pm

Ieda Moin sudah bertemu pengganti

 IEDA Moin bersama Mohd Amril Gul Khan Abdul Rahman pada majlis berbuka puasa anjuran Astro.
IEDA Moin bersama Mohd Amril Gul Khan Abdul Rahman pada majlis berbuka puasa anjuran Astro.

KUALA LUMPUR: Tanpa berselindung, Ieda Moin memberitahu dia sudah bertemu pengganti. Bergelar ibu tunggal sejak Disember tahun lalu, pelakon komedi itu mengesahkan dia kini sudah bertemu arjuna hati bernama Mohd Amril Gul Khan Abdul Rahman.

Jejaka berusia 33 tahun itu masih bujang dan bukan suami orang.

Bertemu dengan beliau pada majlis berbuka puasa anjuran Astro sebentar tadi, ibu kepada Nur Dhia Dania itu jelas sedang melalui fasa bahagia.

"Bahagia ke tidak? Nampak tak berbunga hati saya kini. Alhamdulillah, saya mula kenal dengan dia hujung April lalu. Kami kenal lama lagi cuma rapat sekitar bulan itu. Malahan ketika saya berdepan krisis rumah tangga pun dia tahu. Jadi sekarang ini kalau nak cakap proses mengenali hati budi macam klise. Tapi memang dialah kekasih saya.

"Dia masih bujang dan berusia 33 tahun. Dia bukan orang dalam industri seni. Tapi pernah terbabit dalam kerja pengurusan bakat baharu yang dimiliki ahli keluarganya. Dia pun ada kerja sendiri," kata Ieda.

Ditanya mengenai perancangan kahwin dalam masa terdekat, Ieda menjelaskan perhubungan mereka belum lagi ke arah itu.

"Saya pun belum mengenali keluarganya. Begitu juga dengan dia. Cuma adik-beradik saya ada berjumpa dengannya sebelum ini. Soal kahwin ini bukan perkara mudah kerana ia membabitkan keluarga. Kami pun dalam peringkat menyesuaikan diri," katanya.

Ieda menyifatkan kekasih hatinya itu sebagai seorang yang sangat mengambil berat dan mempunyai sisi humor sepertinya juga.

"Dia buat saya jadi selesa dengannya. Apabila saya merajuk, dia pandai memujuk dan tenangkan saya. Dia tahu saya melatah tapi tak kacau saya," katanya.

Kali pertama menyambut Ramadan dan Syawal kelak sebagai ibu tunggal, Ieda tidak melihat keadaan itu sebagai satu perbezaan besar.

Sementara itu, Amril berkata, beliau juga tidak dapat memberikan kata putus terhadap kesudahan kisah cinta mereka kerana ia masih terlalu awal untuk diperkatakan.

"Kita tak tahu soal jodoh, ajal, maut kerana semua itu di luar bidang kuasa kita. Insya-Allah, saya juga mengharapkan pengakhiran yang baik. Saya memang suka sikapnya, termasuk dirinya yang suka melatah," katanya.

Berita Harian X