Rabu, 1 Julai 2015 | 4:00pm
NAIB Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh. - Foto Saifullizan Tamadi

Iklan kempen Ramadan dan Syawal Astro menyentuh perasaan

KUALA LUMPUR: Masih mengekalkan tag line Kosong Kosong seperti Ramadan dan Syawal tahun lalu, Astro dengan bangganya mempersembahkan sebuah iklan komersial televisyen bersempena hari raya yang memaparkan kisah benar bekas seorang pesakit penagih dadah bernama Herman dan bapanya.

Iklan ini mengupas mengenai pengertian 'kosong-kosong' dan nilai kemaafan dalam hidup seorang individu biasa yang menempuhi realiti hari ini dengan kisah mereka sendiri yang belum pernah dikongsi kepada umum sebelum ini.

Uniknya lagi, iklan komersial ini turut menampilkan Herman sendiri yang ingin memohon maaf kepada bapanya yang sejak sekian lama tidak berjumpa.

Bertepatan dengan kempen Ramadan dan Syawal tahun ini iaitu Kosong-Kosong, Tiada Noktah Untuk Kemaafan, iklan ini melawan arus dan tidak seperti tahun sebelumnya yang menampilkan sisi kisah artis popular tanah air seperti Datuk Aznil Nawawi, Erra Fazira, Lisa Surihani, Johan Raja Lawak, Zizan Razak dan Hanis Zalikha sejak tahun 2012 lagi.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh mereka mempunyai alasan tersendiri yang cukup konkrit mencipta kelainan menerusi iklan komersial berkenaan.

"Berdasarkan kajian selidik yang dijalankan, iklan komersial Astro yang diterbitkan pada tahun lepas merupakan antara video yang paling kerap ditonton di laman YouTube dengan 1.13 juta jumlah tontonan. Ini cukup menggembirakan pihak kami kerana ia membuktikan bahawa pendekatan yang kami ambil berjaya menyentuh hati dan perasaan orang ramai dengan cara yang cukup ringkas.

"Konsep unik kami yang menekankan nilai kekeluargaan sambil menampilkan kisah kehidupan selebriti merupakan faktor utama di sebalik kejayaan video itu. Berdasarkan pengamatan kami, penonton lebih terkesan dengan kisah realiti berkisarkan kehidupan sebenar yang berlaku di sekeliling kita.

"Mesej yang ingin disampaikan menerusi kisah sebegini juga turut sarat dengan nilai murni sebagai teladan dan panduan kepada semua.

"Jika pada tahun sebelum ini kami sering memilih untuk memaparkan kisah eksklusif selebriti popular di bawah naungan Astro yang menceritakan pengalaman sebenar mengenai memori sambutan hari raya dan pengertian 'kosong-kosong' dalam hidup mereka.

"Namun begitu, pada tahun ini kami mengambil pendekatan yang sedikit berbeza dengan menerbitkan iklan yang mempunyai jalan penceritaan mengenai pengalaman sebenar daripada kalangan orang biasa. Uniknya lagi apabila watak tersebut dilakonkan semula oleh individu yang sebenar yang mana saya yakin ramai yang akan terkesan dari kisah Herman ini," katanya.

Pendekatan menampilkan individu biasa ini sebenarnya atas cadangan penonton Astro sendiri.

"Daripada pelbagai cadangan bingkisan cerita pilu dan sedih yang kami terima, cerita Herman antara yang cukup menambat hati. Saya yakin pasti ramai yang akan berlinangan air mata menonton iklan ini. Saya sendiri juga tak mampu menyembunyikan air mata yang jatuh,"katanya.

Bukan itu sahaja, Astro juga bakal menghidangkan lebih 168 buah program istimewa termasuk 143 program baharu bagi memeriahkan musim perayaan ini di rangkaian 16 buah saluran Astro yang terpilih iaitu Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Oasis (106), Astro Ceria (611), Astro Citra (131), Astro Warna (132), Astro Bella (133), Astro Ria HD (123), Maya HD (135), Mustika HD (134), Bintang (141), Pelangi (142), Fox Movies Premium (413), KIX HD (729), HBO (411) dan History (555).

"Seterusnya, bagi merancakkan lagi sambutan hari lebaran pada tahun ini, pengisian kandungan daripada pelbagai genre berbeza seperti telefilem, komedi, muzikal, konsert, majalah, 'variety', hiburan, kerohanian, drama, animasi, koleksi filem-filem tempatan mahupun antarabangsa termasuklah program-program dalam bentuk definisi tinggi dan kandungan premium menerusi Astro First Eksklusif telahpun disusun untuk siaran secara berselang seli tanpa henti bagi memenuhi kehendak tontonan seisi keluarga sepanjang musim perayaan ini.

"Buat pertama kalinya pada tahun ini, tiga buah saluran hiburan Astro iaitu Astro Ria, Astro Prima dan Astro Warna akan bergabung tenaga untuk membawakan sebuah program menarik yang bakal bersiaran secara langsung pada malam raya berjudul Menang Raya! Uniknya, program ini turut menawarkan hadiah utama yang berupa sebuah kereta serta pelbagai hadiah menarik daripada Astro Go Shop untuk dimenangi.

"Bukan itu sahaja, para penonton pastinya tidak kering gusi dengan kelatah gandingan empat pengacara iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi, Kak Engku, Johan dan Jihan Muse selain dihiburkan dengan persembahan menarik oleh barisan artis popular tanah air. Program ini juga akan turut disiarkan dalam bentuk definisi tinggi (HD) secara serentak di Astro Ria HD, Maya HD dan Mustika HD," kata Khairul.

Menceriakan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini adalah program istimewa raya yang lain yang akan disiarkan di saluran-saluran Astro seperti Gegar Vaganza Raya, Ketupat Jantung Hati, Rendang Dendang Dangdut, Raya! Raya! Raya!, Primadona Syawal, Kalau Dah Jodoh Ustaz Kazim Elias, Karoot Komedia Raya, Ini Raya Kita Punya, Ceria Popstar Raya serta banyak lagi.

Telefilem hebat turut menanti para penonton di pelbagai saluran kami seperti Hantu Wefie, Hantu BlueRey, Maid Pun Nak Raya, Isteri Separuh Masa Raya, Suamiku Encik Beruang, Hantu Raya Tumpang Beraya, Aku Nak Kahwin Raya Ni, Aku Benci Raya, Madam Nona Pokok Sena, Gadis Tudung Merah & Labu Labi dan banyak lagi.

Selain itu, koleksi filem-filem menarik juga turut disajikan di pelbagai saluran Astro. Antaranya termasuklah filem-filem tempatan seperti; Manisnya Cinta di Cappadocia, Adnan Sempit Sawadikap, Dollah Superstar, Ali Setan 2, Azura, Mekanik, Selubung, Abang, filem-filem antarabangsa seperti; Mission Impossible 3, Transformers, Lara Croft Tomb Raider, The Italian Job, Kung Fu Panda, Shrek, Madagascar, The Ring, filem-filem Bollywood seperti; Duplicate, Kabhi Kushi Kabhi Gam, Kal Ho Na Ho, Kuch Kuch Ho Ta Hai serta banyak lagi.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Astro untuk tahun ini, pihak Astro Radio menerusi ERA fm sekali lagi mempersembahkan Sketsa Raya JoHaRa yang dikendalikan oleh Johan, Haniff dan Ray. Selain itu, ERA fm juga turut megadakan Majlis Rumah Terbuka ERA fm di rumah anak-anak yatim.

Sinar FM pula bakal menyajikan sebuah drama radio yang berkisahkan tentang ikatan kekeluargaan yang dilakonkan oleh penyampai Sinar FM, Feeya dan Krill.

Sambil beraya, pendengar juga boleh dengarkan Carta Raya Gegar yang di meriahkan oleh para artis tempatan di THR Gegar.

Jangan lupa temujanji anda bersama program-program hebat di Astro di sepanjang bulan Syawal 1436 Hijrah ini. Selamat menonton!

Berita Harian X