Khamis, 2 Julai 2015 | 12:12am

Siti Nurhaliza lancar Unplugged sempena dua dekad dalam dunia seni


SITI Nurhaliza (kiri) bergambar bersama Pengarah Urusan Universal Music Sdn Bhd Kenny Ong pada pelancaran album Unplugged sempena 20 tahun penglibatan beliau dalam seni muzik hari ini. - foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza, melengkapkan dua dekad penampilannya dalam dunia seni hiburan tanah air dengan melancarkan album terbaharunya berjudul 'Unplugged'.

Istimewanya, album terbaharu Siti Nurhaliza itu akan dicetak dalam bentuk piring hitam buat pertama kalinya dan dijangka berada di pasaran selepas Aidilfitri.

Menurut kenyataan media yang diedarkan pada majlis pelancaran album itu, Unplugged memuatkan 18 trek, termasuk tiga buah lagu baharu iaitu Mikraj Cinta, Engkau dan Menatap Dalam Mimpi serta 20 buah lagu daripada konsert Unplugged beliau yang diadakan pada April lalu, yang diadun semula menjadi medley.

Selain itu, dimuatkan juga lagu hits beliau sepanjang pembabitannya dalam dunia muzik tanah air.

Album baharunya dalam bentuk cakera padat telah mula dipasarkan sejak semalam, dengan sebanyak 5,000 unit telah dijual. Peminat juga boleh memuat turun melalui laman iTunes dan di semua platform digital lain seperti Spotify, Deezer dan KKBox.

Album itu dihasilkan dengan kerjasama Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd. - BERNAMA

Berita Harian X