Khamis, 2 Julai 2015 | 11:39am

EPL: Mouri sokong perpindahan Cech

PENJAGA gol Republik Czech, Petr Cech. - Foto REUTERS
PENJAGA gol Republik Czech, Petr Cech. - Foto REUTERS

LONDON: Penghijrahan penjaga gol Republik Czech, Petr Cech dari Chelsea ke musuh tetangga London, Arsenal disokong bekas pengendalinya, Jose Mourinho.

Selama 10 tahun, pemain ini menjadi pilihan utama di Stamford Bridge sebelum kehilangan tempat kepada penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois musim lalu yang membawa perpindahannya ke Arsenal, pada Isnin.

Sekalipun, mengakui lebih gemar Cech, 33, kekal di Chelsea musim ini, Mourinho sedar status bekas pemain kegemarannya yang bukan lagi nombor satu dan berhasrat untuk berhijrah membuatkannya menyokong keputusan itu.

Dia turut berterima kasih atas segala sumbangan penjaga gol itu terhadap kejayaan kelab berkenaan sebelum ini.

"Petr sudah bekerja dengan cemerlang bersama Chelsea untuk tempoh 11 tahun dan membantu kelab ini memenangi semua kejuaraan yang ditawarkan," kata Mourinho dalam laman web pasukan, www.chelseafc.com.

"Saya sentiasa berkata, saya mahu dia untuk kekal namun saya faham Petr mahu berpindah untuk menjadi pemain utama dan bermain setiap minggu.

"Kadang-kala kamu perlu menghormati keputusan seseorang yang sudah amat dihormati kerana kerja dan tindakannya untuk kelab ini. Saya menyokong keputusan pemilik untuk memberi penghormatan kepadanya dengan cara ini," kata Mourinho merujuk kepada bosnya, Roman Abramovic.

Mourinho begitupun berkata, sukar untuknya membuat keputusan melepaskan Cech.

"Jarang dalam bola sepak untuk melakukan keputusan seperti ini dan kerana itu, saya berbangga dengan cara kelab saya melakukannya. Tidak banyak kelab di dunia yang terlalu berani untuk melakukan keputusan seperti ini.

"Kejayaan Petr kepada kelab ini akan sentiasa diingati dan kami berterima kasih kepada segala yang dilakukannya," katanya.

Cech mencipta gemilang pada musim pertamanya bersama Mourinho pada 2004 dan sudah memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala Liga bersama pengendali kelahiran Portugal itu. - REUTERS

Berita Harian X