Khamis, 2 Julai 2015 | 12:04pm

Adira enggan ratapi kisah putus tunang

KUALA LUMPUR: Enggan babitkan individu lain dalam kegagalan kisah cintanya, Adira Suhaimi akui banyak perkara lain yang perlu dititik beratkan buat masa ini.


PENYANYI, Adira. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Mengikut penyanyi kelahiran Sabah ini, dia enggan meratapi kisah pertunangannya bersama Pengerusi Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia, Shahrul Nasrun yang sudah menemui noktah.

Naib Juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan menjelaskan tumpuan utama kini adalah kepada keluarganya yang turut terjejas akibat bencana gempa bumi yang menimpa negeri Sabah baru-baru ini.

"Saya rasa adalah tidak wajar untuk saya meratapi kisah pertunangan saya yang telah putus. Pada masa sama keluarga saya di Sabah berdepan dengan situasi bencana alam yang seharusnya diberikan lebih perhatian.

" ..raya (Aidilfitri) yang bakal menjelang tidak lama lagi, keadaan rumah saya juga perlu diperbaiki. Di sebalik kejadian putus tunang itu, ada lagi kejadian yang lebih penting untuk saya fokus.

"Malah Aidilfitri tahun ini juga agak berbeza sedikit jika dibandingkan beberapa tahun sebelum ini. Sememangnya saya sekeluarga menyambut raya secara sederhana saja. Namun saya berharap Sabah akan pulih seperti sedia kala dan kami dapat menyambut Hari Raya," kata Adira kepada BH.

Keretakan hubungan cinta Adira dan Shahrul menjadi bualan hangat apabila nama penyanyi, Elizabeth Tan dikaitkan sebagai orang ketiga yang menjadi punca perpisahan mereka.

Mengulas mengenai Elizabeth Tan yang dikatakan sebagai punca perpisahan, Adira berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang mendakwa Elizabeth sebagai punca perpisahan mereka.

"Puncanya biarlah saya dan dia (bekas tunang) saja yang tahu, tak perlulah untuk saya nyatakan satu persatu. Saya terima ini sebagai takdir dan ketentuan yang sudah tertulis.

"Saya tidak tahu kesahihan kontroversi ini tetapi saya ada bertemu dengan Elizabeth Tan untuk berbincang. Saya tidak mahu dia salah faham dan rasa bersalah dengan cerita ini. Punca sebenarnya tiada kaitan dengan sesiapapun.

"Saya sudah 'move on'. Saya tidak mahu fikirkan apa-apa lagi. Yang lepas itu biarlah berlalu dan tak perlu dikenang lagi. Anggap saja tiada jodoh antara kami," kata Adira sambil mengukir senyuman.

Teka teki status Adira akhirnya menemui noktah setelah dia sendiri membuka mulut memberikan penjelasan berhubung kontroversi yang melanda dirinya.

Adira turut meluahkan perasaan terharunya dengan sokongan padu yang diberikan oleh peminat dan pihak pengurusan tanpa henti. Baginya, sokongan yang diberikan adalah pembakar semangat untuk beliau menjadi lebih tabah menghadapi pelbagai ujian yang mendatang.

87 dibaca
Berita Harian X