Khamis, 2 Julai 2015 | 9:39pm

Kerajaan cadang bina jambatan tanpa tiang di kawasan banjir


FADILLAH melawat Jambatan Batu 6 yang dinobatkan sebagai Jambatan Konkrik Satu Rentang yang terpanjang di Malaysia menggunakan 'Ultra High Performance Cencrete oleh 'The Malaysia Book of Records'. - Foto Supian Ahmad

GERIK: Kerajaan bercadang untuk membina jambatan konkrit tanpa tiang di lokasi yang sering dilanda banjir, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, kaedah penggunaan konkrit berprestasi ultra tinggi (UHPC) itu boleh menjimatkan kos pembinaan sehingga 30 peratus.

"Selain itu, ia memudahkan laluan air yang dapat mengelak jambatan daripada rosak atau hanyut akibat air banjir," katanya kepada pemberita.

Fadillah berkata, jambatan seumpama itu sudah dibina di Batu 6, di sini dan ia dicadang untuk dibina di Gua Musang, Kelantan bagi menggantikan jambatan yang roboh akibat banjir besar tahun lepas.

Beliau melawat jambatan itu di sini, yang dinobatkan sebagai jambatan konkrit satu rentang yang terpanjang di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR), menggunakan kaedah UHPC.


JAMBATAN Batu 6 dinamakan sebagai Jambatan Konkrik Satu Rentang terpanjang di Malaysia menggunakan 'Ultra High Performance Cencrete oleh 'The Malaysia Book of Records'.Ia dibina dengan panjang 100 meter dan lebar 5 meter menyeberangi Sungai Perak antara Bandriang ke Gerik. - Foto BERNAMA

Fadillah menyerahkan sijil MBOR itu kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak, Datuk Ir Dr Safri Kamal Ahmad.

Jambatan dengan panjang 100 meter dan lebar lima meter itu, dibina bagi menyeberangi Sungai Perak dari Gerik ke Bandariang, menggunakan peruntukan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.

Jambatan itu menggunakan teknologi daripada Perancis.

"Manfaat menggunakan UHPC sebagai bahan binaan jambatan antaranya ia tidak memerlukan penyelenggaraan berkala dan berat jambatan dapat dikurangkan 50 peratus berbanding jambatan konvensional," katanya. - BERNAMA

29 dibaca
Berita Harian X