Jumaat, 3 Julai 2015 | 7:18am

Budaya 'jaga tepi kain orang' elak kes dera

Awal Ramadan kali ini, kita dikejutkan dengan kes dera kanak-kanak. Sepasang suami isteri masing-masing berumur 40 tahun dan 25 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak berusia lima tahun di Rantau Panjang, Kelantan pada 25 Jun lalu. Polis Kelantan mengesyaki pasangan suami isteri ini mendera kanak-kanak ini sejak enam bulan lalu.

Kejadian ini bukan baru dalam masyarakat kita. Sudah terlalu banyak kes penderaan terhadap kanak-kanak didedahkan oleh media, sehingga ada yang menyebabkan kematian. Mengambil kira satu kes yang menyayat hati kita tiga dekad lalu, seluruh negara bangun mengetuk tindakan tidak perikemanusiaan ini. Ia membawa kepada penggubalan undang-undang lebih ketat, bagi mengelakkan isu sama berulang.

Tetapi ia berulang. Hampir setiap tahun ada kes penderaan kanak-kanak. Dari segi undang-undang, penderaan kanak-kanak bermaksud dera atau satu perbuatan zalim dilakukan ke atas kanak-kanak iaitu mereka yang berusia kurang 18 tahun. Jika dilihat berdasarkan rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kes-kes penderaan semakin membimbangkan.

Pada tahun 2013, didapati lebih 3,840 kanak-kanak menjadi mangsa penderaan. Jumlahnya tidak berkurangan pada tahun 2014. Ini bermakna dalam sehari, ada 10 kanak-kanak yang didera. Ini tidak termasuk kes yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Rekod menunjukkan penderaan dilakukan dan boleh dilakukan oleh sesiapa saja: ibu bapa kandung atau tiri, pengasuh, saudara-mara. Penderaan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya, penderaan fizikal penderaan emosi (mental) dan penderaan seksual.

Penderaan kanak-kanak secara fizikal adalah satu perbuatan zalim secara fizikal yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan menyakiti mangsa. Ia dilakukan ibu bapa, penjaga atau sesiapa sahaja yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak berkenaan. Perbuatan mendera boleh menyebabkan kecederaan atau kematian.

Kanak-kanak jadi sedih, murung

Ia dilakukan menggunakan cara atau alat tertentu untuk mencederakan kanak-kanak terbabit. Di antara cara dan alat digunakan untuk mendera, selain memukul menggunakan tangan ialah dicucuh puntung rokok atau dengan benda panas, disepak, ditumbuk, dicubit, disimpah air panas, dirantai atau direndam ke dalam air.

Dalam pada itu, penderaan emosi adalah satu kaedah penyeksaan terhadap kanak-kanak sehingga menyebabkan gangguan psikologi dari segi mental dan emosi. Penderaan ini meliputi tidak memberi kasih sayang yang secukupnya kepada kanak-kanak. Mereka ini dimarahi, diejek, ditengking dan pergaulan selalunya disekat menyebabkan kanak-kanak ini sedih, marah dan murung. Kanak-kanak sebegini dilabel sebagai seorang yang bodoh, tidak boleh harap dan menyusahkan keluarga.

Penderaan seksual berlaku apabila kanak-kanak dieksploitasikan untuk kepuasan seks oleh orang dewasa. Penderaan seksual membabitkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan yang berumur sikit, dipaksa melacur. Penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak perempuan semakin membimbangkan manakala bilangan kanak-kanak lelaki yang didera secara seksual juga tidak kurang seriusnya.

Penderaan seksual dilakukan oleh seseorang yang mempunyai nafsu seks luar biasa terhadap kanak-kanak. Mereka ini dikenali sebagai pedophilia dan mereka tunjuk pornografi, gambar atau perakam video atau mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak. Pada kebiasaannya, penderaan ini dilakukan oleh orang terdekat sama ada bapa sendiri, bapa tiri, saudara-mara atau datuknya sendiri. Banyak juga kes yang menyebabkan kematian. Mengikut statistik PDRM bagi kajian lima tahun, lebih 80 peratus daripada jumlah kes membabitkan pembunuhan kanak-kanak adalah yang berunsurkan penderaan seksual.

Melihat kepada perkembangan, kita masih tertanya-tanya apa yang menjadi penyebab kepada penderaan kanak-kanak. Kita sudah ada undang-undang yang ketat. Indeks sosioekonomi bertambah baik berbanding tahun 1960-an dan 1970-an bermakna semakin ramai berpendidikan atau celik huruf. Kita ada kemudahan lebih baik dan negara pula semakin moden. Negara berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding lima atau enam dekad lalu.

Tetapi persoalan yang belum ada jawapan. Kes mendera kanak-kanak belum ada titik noktah. Mengapa? Kita masih mencari jawapan bagi soalan ini. Dan, terus mencari jawapan.

Salah satu faktor adalah ibu bapa yang mempunyai sikap panas baran keterlaluan dan emosi tidak terkawal. Selain itu, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai tekanan di tempat kerja, masalah kewangan kerana berhutang dan berjudi. Mereka yang minum arak terlalu banyak pun menjadi penyebab berlakunya penderaan kanak-kanak termasuk seksual. Kegagalan rumah tangga, rumah tangga yang porak-peranda boleh menyebabkan penderaan terhadap anak-anak sendiri.

Masalah ibu tunggal yang mempunyai anak, teman lelaki akan ambil kesempatan di mana individu terbabit kemungkinan boleh mendera secara fizikal atau seksual. Kegagalan memahami agama secara mendalam menyebabkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan seseorang. Faktor lain termasuklah kurangnya skil keibubapaan, harapan kanak-kanak terlalu tinggi, dan keadaan mental dan fizikal ibu bapa yang terjejas disebabkan faktor-faktor ini sudah pasti akan memanjang jika kita senaraikan satu persatu.

Ada juga sesetengah ibu yang berpandangan bahawa masalah anak boleh diselesaikan dengan cara memukul anak yang tidak berdosa. Kajian juga menunjukkan bahawa perbuatan mendera ini satu bentuk kitaran -cycle of violent; di mana ibu bapa yang pernah mengalami penderaan akan melakukan penderaan ke atas anak mereka suatu hari kelak. Atau dalam lain perkataan ia menjadi 'teladan negatif' jangka panjang.

Lapor jika ada kes

Negara terus berdepan masalah sosial yang besar. Apa yang perlu dan harus lakukan? Dengan mudah kita boleh menasihatkan supaya melaporkan jika berdepan dengan isu seperti ini atau jika ada kes di kawasan sekitar tempat tinggal. Kita tiada pilihan. Kita kena ada budaya 'jaga tepi kain orang'. Anggota masyarakat perlu sensitif apabila berlaku masalah penderaan di kawasan kejiranan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan Talian NUR 15999.

Usaha perlu dipertingkatkan untuk menambah skil dalam siasatan penderaan kanak-kanak. Pasukan Petugas Khas Membabitkan agensi penguat kuasa perlu diadakan. Mahkamah perlu menjatuh hukuman berat supaya jadi pengajaran. Lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak perlu diadakan di tempat kerja. Sudah pasti kita tidak boleh melupakan syor lama, iaitu mengadakan lebih banyak kempen mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai.

Kita perlu berganding usaha untuk membawa satu mesej bahawa penderaan itu satu jenayah berat. Kanak-kanak ada hak dan ruang untuk menikmati satu kehidupan yang aman dan berkualiti. Menjadi tugas kita sebagai ibu bapa menyediakan persekitaran ini. Apabila pasangan suami isteri dikurniakan anak, menjadi tanggungjawab mereka mewujudkan situasi bebas kekerasan kepada setiap individu bernama 'seorang anak'. Kesedaran ini perlu ada. Amanah dan tanggungjawab perlu datang bersama.

Undang-undang hanya satu garis panduan. Budaya positif menjauhi perbuatan mendera lebih penting.

145 dibaca
Berita Harian X