Jumaat, 3 Julai 2015 | 5:02pm

Aaliyah, adik buru kejuaraan ski dunia di Madrid

AALIYAH Hanifah Yoong, meraikan kemenangan dengan memenangi pingat perak dalam acara waterski akhir kategori "Jump's" wanita Sukan SEA 2015 di Bedok Reservoir, Singapura. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Atlet muda, Aaliyah Yoong Hanifah memburu tempat dalam kelompok 10 terbaik acara tricks wanita pada Kejohanan Ski Air Dunia (IWWF) B-21 di Tasik Sesena, Madrid, Sepanyol, yang bermula hari ini.

Bapa yang juga merangkap jurulatihnya, Hanifah Yoong berkata, sasaran itu mampu digapai, sekali gus mencari tiket ke pusingan akhir.

Aaliyah, 11, dan adiknya Aiden, 9, sudah menjalani latihan tiga hari di gelanggang pertandingan dan bersedia mengharungi cabaran di sana.

Persekutuan Ski Air Malaysia (MWWF) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan Aaliyah akan menyertai acara slalom wanita buat kali pertama, selain acara tricks manakala Aiden dalam acara tricks lelaki.

"Sasaran Aaliyah lebih kepada acara tricks di mana saya mahu dia cuba menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik, sambil cuba mendapatkan tiket ke pusingan akhir, sesuatu yang dalam jangkauannya," kata Hanifah.

Ini adalah penampilan keempat bagi Aaliyah di kejohanan itu selepas tampil pertama kali di Dubna, Rusia pada 2011 ketika berusia lapan tahun manakala ini adalah aksi sulung buat Aiden.

"Kami tidak terlalu meletakkan bebanan untuk Aaliyah mara ke pusingan akhir acara slalom dan tricks kecuali untuk dia melakukan catatan terbaik, sambil menimba pengalaman berdepan atlet terbaik dunia.

"Begitu juga dengan Aiden. Kami harapkan dia mampu memberi saingan dalam kejohanan bertaraf tinggi ini dan tidak gugup," kata Hanifah.- BERNAMA

Berita Harian X