Sabtu, 4 Julai 2015 | 9:54am

24 lagi jenazah etnik Rohingya dikebumikan

PENDUDUK kampung turut serta membantu dalam urusan pengebumian 24 jenazah etnik Rohingya di Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Tualang, Pokok Sena, Alor Setar. - Foto Danial Noordin

ALOR SETAR: Sejumlah 24 jenazah etnik Rohingya, termasuk satu yang tidak dapat dikenal pasti jantinanya, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Tualang, Pokok Sena, dekat sini pagi tadi.

Semua jenazah selamat dikebumikan pada jam kira-kira 3 pagi tadi dan ia adalah kumpulan ketiga dari keseluruhan 106 jenazah Rohingya yang melalui proses forensik di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejak kira-kira dua bulan lalu.

Difahamkan semua jenazah tiba di tanah perkuburan pada jam 12.30 tengah malam tadi dan proses pengebumian bermula jam 1 pagi serta selesai dua jam selepas itu.

Ia menjadikan keseluruhan 75 daripada 106 jenazah selamat dikebumikan secara berperingkat manakala 24 lagi dijangka disempurnakan esok, sementara baki tujuh akan disemadikan selepas Aidilfitri.

Pada 22 Jun lalu, sebanyak 21 jenazah dikebumikan, manakala 29 Jun lalu 30 lagi selamat disemadikan di tanah perkuburan sama.

Berita Harian X