Sabtu, 4 Julai 2015 | 12:17pm

Lebih 70 rumah, gerai rosak dipukul ribut di Perlis

KEADAAN di bazar Ramadan bersebelahan Kompleks DUN Kangar yang dilanda hujan lebat berserta ribut. - Foto ihsan pembaca
KEADAAN di bazar Ramadan bersebelahan Kompleks DUN Kangar yang dilanda hujan lebat berserta ribut. - Foto ihsan pembaca

KANGAR: Lebih 70 buah rumah dan gerai pasar Ramadan di beberapa kawasan di negeri ini mengalami kerosakan akibat kejadian ribut dan hujan lebat kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Kawasan paling teruk dilanda bencana alam itu ialah Taman Datuk Jaafar di sini membabitkan 26 buah rumah dan beberapa gerai yang mengalami kerosakan bumbung dan setengahnya keseluruhan bumbung diterbangkan angin.

Kerosakan bumbung berlaku di Kampung Wang Ulu, Padang Lima Nalih dan Taman Bukit Kayangan di Bintong manakala masing-masing sebuah rumah di Wang Ulu dan Padang Lima Nalih rosak teruk ditimpa pokok.

Manakala 30 gerai pasar Ramadan rosak di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri, Jalan Hospital dan Taman Datuk Jaafar menyebabkan peniaga terbabit terpaksa menutup perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Perpaduan Masyarakat negeri, Rela Ahmad yang melawat mangsa sejurus selepas kejadian malam tadi dan hari ini, berkata beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri masih menjalankan bancian kerosakan dan setakat ini belum dapat dipastikan nilai sebenar kerosakan yang dialami oleh mangsa terbabit," katanya selepas melawat mangsa di sini hari ini.

Rela yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong berkata, pihak JKM akan mengeluarkan bantuan mengikut nilai kerosakan yang dialami bagi meringankan beban mangsa berkenaan terutama menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan membantu mangsa dan berharap mangsa bersabar dan menerima ujian Allah SWT pada Ramadan yang mulia ini.

- BERNAMA

Berita Harian X