Sabtu, 4 Julai 2015 | 11:36pm

Jurujual wanita dicabul di hentian bas

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual wanita mendakwa dicabul seorang lelaki ketika sedang menunggu di hentian bas untuk ke tempat kerja dalam kejadian di Ayer Jernih, Setapak, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 11.44 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal, yang kemudiannya duduk di sebelahnya.

Suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu dikatakan membuka zip seluarnya dan menunjukkan kemaluannya sebelum memegang payudara mangsa menyebabkan wanita itu terkejut.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata mangsa cuba melarikan diri, namun suspek mengejarnya sebelum dua rakan wanita itu yang turut berada di tempat kejadian menjerit.

"Suspek panik dan terus melarikan diri, namun terjatuh selepas terlanggar motosikalnya sendiri. Suspek kemudian bangun dan terus melarikan diri meninggalkan kenderaannya itu.

"Mangsa kemudiannya mengambil kunci motosikal suspek dan terus ke Balai Polis Setapak untuk membuat laporan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Roy berkata, pihaknya kini sedang mengesan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 dan 509 Kanun Keseksaan.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

103 dibaca
Berita Harian X