Ahad, 5 Julai 2015 | 1:09am
Amy bersama Nabila.
AMY (kanan) dan Bilal Mohd Sujak, menunjukkan Sijil Perakuan Pendaftaran Sementara Sekolah-Sekolah Islam Selangor yang diperoleh daripada JAIS. - Foto Muhammad Sulaiman
AMY bersyukur apabila operasi sekolah tahfiz miliknya diiktiraf dan berharap, ia dapat dijadikan bekalan akhirat kelak. - Foto Muhammad Sulaiman

Nabila tiada kaitan dengan sekolah tahfiz: Amy


UMUM kini maklum, penyanyi rock legenda tanah air, Amy Search, telah menubuhkan sebuah sekolah tahfiz, Sekolah al-Quran dan Hadis Al-Bayan.

Sesuatu yang boleh dikatakan mengejutkan banyak pihak walaupun kecenderungan penyanyi itu ke arah keagamaan sudah semakin terserlah kebelakangan ini. Usaha itu disambut baik, namun tidak kurang juga yang mengaitkan penubuhan sekolah tahfiz itu dengan sikap `liar' anaknya, Nabila Huda.

"Jangan kaitkan," mudah permintaan Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman.

Jelas Amy, Nabila sudah dewasa dan bertanggungjawab atas tindak-tanduknya sendiri. Malah, Amy enggan mencampur-adukkan perkara negatif dengan penubuhan sekolah tahfiznya itu.

"Kalau boleh saya enggan mengulas lebih lanjut berhubung isu ini (pelbagai kontroversi membabitkan Nabila) kerana perkara negatif tidak perlu dicampur-adukkan dengan penubuhan sekolah tahfiz milik saya ini.


PENOLONG Pengarah Kanan Unit Sekolah Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Dr Kamal Radiman (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Amy. Turut serta, Pengelola Sekolah al-Quran dan Hadis Al-Bayan, Bilal Mohd Sujak. - Foto Muhammad Sulaiman

"Lagipun, dia (Nabila) sudah dewasa. Bukan budak-budak lagi. Jadi, dia perlu bertanggungjawab atas setiap perbuatan yang dilakukannya. Saya tahu sebagai bapa memang orang akan terus bertanyakan kepada saya mengenai Nabila," ujar Amy, tenang.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan Sekolah al-Quran dan Hadis Al-Bayan, Amy bersyukur apabila operasi sekolah tahfiz miliknya itu diiktiraf Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan berharap, penubuhan sekolah tahfiz itu dapat dijadikan bekalan akhirat nanti.

Tambahnya, objektif utama penubuhan sekolah tahfiz itu adalah satu daripada dua sumbangan penting yang mahu ditinggalkannya di dunia selain daripada nyanyian.

Pada masa yang sama, Amy enggan menggabungkan kerjayanya sebagai penyanyi dan penubuhan sekolah tahfiz itu kerana baginya, ia adalah dua entiti yang berbeza.

Sehingga hari ini, Amy masih bergerak aktif dalam bidang nyanyian yang diceburi sejak 35 tahun lalu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sekolah tahfiz ini sudah mendapat pengiktirafan. Saya menganggap ia dapat dijadikan bekalan saya di akhirat nanti. Saya berdoa supaya perjalanan saya diakhiri dengan menuju ke arah kebaikan dan semakin indah.


AMY Search (berdiri tengah) bersama pelajar Madrasah Albayan ketika majlis berbuka puasa di Madrasah Albayan di Saujana Utama 2, Sungai Buloh. - Foto Aziah Azmee

"Namun, ini tidaklah bermaksud saya sudah bersara daripada bidang nyanyian. Ia adalah dua entiti yang berbeza sama sekali. Saya masih lagi berjiwa rock," ujar Amy.

Sekolah tahfiz milik Amy itu ditubuhkan secara rasmi pada Disember tahun lalu dengan jumlah pelajar lelaki seramai 16 orang ketika ini. Sekolah yang terletak di Saujana Utama, Sungai Buloh itu menekankan sepenuhnya pendidikan berteraskan agama bertujuan melahirkan hufaz berkualiti.

Tambah Amy, sekolah tahfiz itu akan berpindah ke kawasan baharu yang lebih luas bagi keselesaan pelajar dan lima orang tenaga pengajar. Beliau berkongsi tenaga pengajar yang bekerja secara suka rela tanpa bayaran.

Dalam pada itu, Amy turut berkongsi perasaan terujanya bakal menjalani ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri di Tanah Suci Makkah tidak lama lagi. Beliau bakal berangkat ke Makkah pada 10 Ramadan terakhir (7 Julai) bersama isteri dan anak-anaknya.

"Insya-Allah, saya akan berangkat ke Makkah bersama keluarga pada 7 Julai ini. Hari raya kedua baru kami akan pulang ke Malaysia. Kiranya buat pertama kali saya akan beraya di sana.

"Terharu rasanya kerana baru hari itu isteri saya meluahkan hasrat untuk berpuasa dan beraya di Makkah. Keesokan harinya, ada pihak yang menelefon mengajak kami untuk turut serta ke sana," katanya.

Berita Harian X