Graduan AMD perkuat Selangor II

Rabu, 26 Februari 2020 @ 3:58 PM

KUALA LUMPUR: Beberapa bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang juga pemain skuad Bawah 18 (B-18) kebangsaan, sah memperkuat pasukan Selangor II bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim ini.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerusi laman sesawangnya hari ini, memaklumkan antara bekas pemain AMD yang sah menyarung jersi pasukan berkenaan adalah Muhammad Azrin Afiq Rusmini, Harith Haiqal Adam Afkar, dan penjaga gol B-18 negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

FAS turut mengesahkan pasukan berkenaan akan diperkuatkan dengan kapten skuad B-18 negara, Muhd Mukhairi Ajmal Mahadi, pemain import dari Kosovo, Bajram Nebihi, dan pemain kacukan Malaysia-Australia, Quentin Cheng yang pernah bermain bersama skuad B-23 negara pada saingan Sukan SEA 2019 di Filipina, Disember lalu.

Selain bekas graduan AMD, pasukan Selangor II turut dibarisi pemain muda daripada skuad Piala Belia (B-19) dan Piala Presiden (B-21) Selangor dan PKNS FC.

Pasukan berkenaan, jelas FAS, akan dilatih Pengarah Teknikalnya Michael Feichtenbeiner yang bakal dibantu beberapa individu lain termasuk bekas jurulatih penjaga gol negara dan program pembangunan bola sepak negara, Lim Chuan Chin, serta bekas jurulatih kecergasan skuad B-22 negara, Mashidee Sulaiman.

Selangor II yang dibentuk hasil gabungan FAS dan PKNS FC adalah pasukan 'feeder’ kepada skuad utama Selangor yang beraksi dalam saingan Liga Super dan akan memulakan kempen Liga Perdana 2020 menentang Terengganu FC II di Stadium UiTM, Shah Alam Ahad ini (1 Mac).

Senarai pemain Selangor II:

Penjaga Gol: Muhammad Haziq Ridwan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, Muhammad Aqil Fadhly Mohd Yusop

Pemain Pertahanan: Sharul Nazeem Zulpakar, Harith Haiqal Adam Afkar, Quentin Cheng, Muhammad Aidil Azuan,Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Azrin Afiq Rusmini, Shivan Pillay, Muhammad Iqmal Ramlan, Raja Imran Shah Raja Amin

Pemain Tengah: Khairul Naim, Syazwan Salihin, Bajram Nebihi (Kosovo), Mior Dani Armin, Muhammad Fazrul Fahriz Zeky, T. Saravanan, S. Sharvin, Faris Kamardin, Muhd Mukhairi Ajmal Mahadi, Ashraf Nasir, Armin Maier Rafi.

Penyerang: Ahmad Danial Ahmad Asri, Azizul Baharuddin, Nazrin Nasir.

- BERNAMA