Isnin, 6 Julai 2015 | 1:41pm

Atikah Suhaime enggan ulas isu kunjungi teman lelaki

KUALA LUMPUR: Pendatang baru dari Singapura, Atikah Suhaime enggan mengulas lanjut dakwaan beliau sering keluar masuk ke sebuah unit kondo milik teman lelakinya di Cyberjaya.

Beliau tidak mahu kenyataannya di salah tafsir oleh sesetengah pihak berhubung isu itu.

"Buat masa ini saya tidak boleh bercakap apa-apa tentang perkara itu. Kenyataan yang diberikan oleh saya sebelum ini pun adalah kerana saya tak sangka temu bual itu berkaitan dengan perkara ini.

"Pada mulanya pihak terbabit menelefon saya bagi bertanyakan khabar jadi tak sangka pula mereka mengambil kenyataan saya untuk gosip sering berkunjung ke rumah teman lelaki itu," katanya kepada BH Online.

Menurut Atikah, beliau tidak menganggap gosip liar yang dilemparkan itu menganggu perjalanan kerjayanya yang sedang meningkat naik.


ATIKAH enggan mengulas lanjut dakwaan beliau sering keluar masuk ke sebuah unit kondo milik teman lelakinya di Cyberjaya. - Foto Munira Abdul Ghani

Beliau menambah, bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Atikah menjelaskan kepada keluarganya yang berada di Singapura untuk bersedia dengan sebarang gosip yang bakal muncul kelak.

"Saya seorang diri di sini jadi saya bertanggungjawab untuk menjaga maruah keluarga saya. Mereka tidak terkejut dengan gosip itu kerana saya sudah memaklumkan kepada mereka untuk bersedia dengan apa-apa gosip.

"Bagi saya mulut orang akan terus bercakap. Kita sendiri tak mampu memuaskan hati semua orang. Gosip akan datang dan pergi.

"Baru-baru ini saya memuat naik gambar memasak pun ada orang menuduh saya tinggal berdua dengan teman lelaki. Padahal kami berbuka puasa ramai-ramai," ujar Atikah dalam nada tenang.

Selain itu, Atikah turut berkongsi beliau kini melebarkan sayap dalam bidang nyanyian. Beliau diberikan peluang untuk menyanyikan runut bunyi bagi filem Suamiku Jatuh Dari Langit.

Filem komedi terbaharu taruhan Meltrowealth (MIG) itu menampilkan Nora Danish, Qi Razali, Kaza dan Syuk SYJ selaku teraju utama.

"Saya memegang watak sebagai adik kepada Nora Danish dalam filem itu. Bagaikan bonus, saya diberikan peluang oleh Awi Rafael untuk menyanyikan OST filem Suamiku Jatuh Dari Langit.

"Fokus utama saya adalah bidang lakonan. Namun, saya memang mengintai peluang untuk mencuba bidang nyanyian. Tak sabar hendak tengok reaksi semua," ujar Atikah dalam nada teruja mengakhiri wawancara.

792 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »