Isnin, 6 Julai 2015 | 3:13pm

14 pemain skuad futsal negara ke New Zealand dinamakan

KETUA jurulatih skuad futsal negara, Marcelo Serpa. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad futsal negara, Marcelo Serpa melengkapkan senarai 14 pemain bagi menghadapi kejohanan Piala Futsal Komanwel 2015 di New Zealand dengan menggugurkan tiga pemain.

Tiga pemain terbabit, Mohd Firdaus Razali (MPSJ) Qaiser Heshaam Abdul Kadir (Felda United) dan Mohd Shahmi Abdullah Sani (Kedah) digugurkan daripada senarai 17 pemain yang mengikuti kem latihan pusat fasa lima bermula 1 Julai lalu hingga hari ini.

Firdaus yang juga penjaga gol terpaksa diketepikan akibat kecederaan apabila pasukan dijadualkan berlepas ke Wellington, malam ini.

Daripada 14 pemain yang disenaraikan, lima daripadanya dipilih dari kelab FELDA United iaitu Ahmad Fawzul Hadzir Mohamad, Saiful Nizam Mohd Ali, Azrul Hadi Mohd Taufiq, Muhammad Fitri Muhammad Yatim dan Muhammad Akmal Yazadh Amri.

Selain itu, dua pemain Selangor dan Majlis Perbandaran Subang Jaya turut dipilih iaitu Saiful Aula Ahmad dan Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin dan Syed Aizad Daniel Syed Nasir dan Muhammad Shamsul Akmar Zamri.

Melengkapkan senarai pemain ialah Amar Ashraf Abu Bakar (Kedah) Muhammad Shamar Fadzil (Melaka), Mohd Noor Azrin Adnan (Kuala Lumpur MK), Akmarulnizam Mohd Idris (Pahang) dan Mohd Ridzwan Bakri (Sabah).

Di New Zealand nanti, Serpa akan dibantu dua penolong jurulatih iaitu Addie Azwan Zainal dan Mohd Fairuz Mohd Noor dengan Malaysia bakal menghadapi satu perlawanan persahabatan bertemu naib juara Liga Futsal New Zealand, Capital Futsal, esok.

Piala Futsal Komanwel 2015 yang membabitkan empat negara adalah edisi pertama kejohanan yang berlangsung pada 10 hingga 12 Julai ini.

Jadual perlawanan Piala Futsal Komanwel 2015:

JUMAAT (10 JULAI 2015)

- Vanuatu mln MALAYSIA - 8.30 mlm (Waktu Malaysia 4.30 ptg)

SABTU (11 JULAI 2015)

New Zealand mln MALAYSIA - 6.30 ptg (Waktu Malaysia 2.30 ptg)

AHAD (12 JULAI 2015)

- MALAYSIA mln Australia - 6.30 ptg (Waktu Malaysia 2.30 ptg)

Berita Harian X