Selasa, 7 Julai 2015 | 12:59am

Sindiket jual MyKad kedua kepada penjenayah


KUALA LUMPUR: Pembongkaran kegiatan menjual MyKad kepada warga asing oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sabtu lalu, turut membawa kepada penemuan mengejutkan apabila sindiket itu turut menjual kad pengenalan tambahan kepada rakyat tempatan.

Sindiket itu dikatakan mengenakan caj antara RM35,000 dan RM200,000 kepada rakyat Malaysia yang ingin memiliki lebih daripada satu MyKad.

Sumber berkata, penemuan itu dibuat hasil risikan dan siasatan susulan penahanan tiga orang, termasuk seorang wanita di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah ketika memproses MyKad untuk pelanggan, seorang ahli perniagaan warga China dengan mengenakan bayaran RM1.3 juta.

Sumber mengesyaki mereka yang membeli MyKad kedua menggunakannya untuk tujuan jenayah atau untuk mengelirukan pihak berkuasa sekiranya ditahan terbabit dalam kegiatan jenayah atau menyukarkan pergerakan mereka dikesan.

"SPRM turut kesan kad pengenalan tambahan itu dibeli oleh mereka yang disenaraihitamkan oleh bank atau imigresen Biasanya mereka yang terbabit dalam jenayah dan kumpulan ekstremis akan memiliki pelbagai kad identiti untuk mengaburi pihak berkuasa," kata sumber itu kepada BH.

Beliau berkata, risikan juga menunjukkan mereka yang memiliki dua MyKad ini mahu menyimpan wang haram mereka di dalam peti simpanan (safe box) bank.

"Menerusi taktik ini, mereka mampu meneruskan kegiatan haram mereka tanpa meninggalkan sebarang jejak untuk dikesan pihak berkuasa," katanya mengesahkan menjadi kesalahan jenayah menggunakan kad pengenalan tambahan.

BH semalam melaporkan mereka yang ditahan SPRM, termasuk dua lelaki yang mempunyai akses kepada sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan syarikat pengeluar MyKad, manakala seorang lagi adalah wanita yang dipercayai ejen pekerja asing.

Pelanggan China itu dipercayai sanggup membayar hampir RM1.3 juta untuk mendapatkan MyKad dan pasport Malaysia, atau kenaikan 900 peratus atau RM150,000 berbanding ketika ia didedahkan BH tahun lalu.

Sementara itu, SPRM mengesan beberapa kelemahan pada sistem MyKad, yang membuka ruang dan peluang salah guna dan penguat kuasa belot.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, berkata hasil siasatan mendapati perkakasan unit pendaftaran mudah alih dan penggunaan sistem Tricube mudah alih yang digunakan untuk menghasilkan MyKad membolehkannya mudah dicapai, dibuka dan diproses di luar JPN.

Katanya, kawalan keselamatan siber Gateway dan alamat protokol internet (IP) yang lemah juga menyebabkan sindiket boleh memproses MyKad di hotel atau di mana-mana sahaja.


Datuk Mohamad Jamidan Abdullah. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Mengulas penahanan tiga individu berkenaan, JPN berkata, semua MyKad yang dijual kepada warga asing seperti didedahkan BH, adalah palsu dan tidak dikeluarkan oleh jabatan itu.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Sulaiman Keling, berkata semakan rekod jabatan mendapati semua maklumat seperti nombor kad pengenalan, gambar dan cap jari pada MyKad itu tidak wujud dalam sistem JPN.

"Pengeluaran kad pengenalan palsu adalah satu kesalahan jenayah mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan-Peraturannya. Mereka yang melakukan kesalahan ini boleh ditangkap dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara tidak lebih tiga tahun atau RM20,000 atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut bagaimana semakan dibuat kerana laporan BH tidak menyiarkan nama, alamat, gambar dan nombor kad pengenalan yang dihasilkan sindiket warga negara ekspres itu.

Malah, SPRM berkata, pihaknya setakat ini tidak dirujuk oleh JPN bagi membantu membuat pengesahan ke atas MyKad terbabit. BH sehingga malam tadi cuba mendapatkan Sulaiman untuk mengulas lanjut perkara itu, namun gagal.

Sumber memberitahu BH, ada tiga kualiti kad MyKad iaitu asli, separuh asli (MyKad orang lain tetapi diganti gambar 'pelanggan') dengan dicetak sebaik asli dan satu lagi, semua palsu.


MYKAD palsu individu yang sama tetapi mempunyai nama dan nombor kad pengenalan yang berbeza.

Mengulas isu MyKad dan tangkapan tiga individu itu, Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM, Datuk Irmohizam Ibrahim, mencadangkan kerajaan menghentikan sementara pengeluaran MyKad sehingga ciri keselamatan kad itu dipertingkatkan supaya tidak dipalsukan.

Beliau membuat gesaan itu berikutan dakwaan sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh digodam untuk menghasilkan MyKad palsu.

Lebih membimbangkan, katanya, perkakasan pendaftaran mudah alih, pengimbas cap jari, cip MyKad, komputer riba, perisian Tricube dan pelbagai dokumen yang dirampas SPRM dalam serbuan itu menunjukkan sindiket berupaya mengeluarkan dokumen berkenaan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Dalam serbuan tengah malam Sabtu lalu, SPRM menahan tiga individu, termasuk yang disyaki ada akses kepada sistem JPN ketika memproses kad pengenalan untuk pelanggan warga China.

Irmohizam berkata, sindiket berani meletakkan harga berjuta ringgit dan itu sendiri membuktikan mudahnya warga negara asing memperoleh MyKad dan pasport sah negara ini.

"Ia juga membuktikan betapa bernilainya pasport dan MyKad Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, seorang pakar teknologi maklumat Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia, Zubaile Abdullah mencadangkan SPRM melakukan forensik pangkalan data terhadap sistem dan pangkalan data yang digunakan JPN.

"Jika tidak semua pun, sebahagian besar yang menjadi warga negara ekspres boleh dijejaki dan dikenal pasti daripada rekod transaksi. Malah, pembelot lain yang terbabit dalam melakukan transaksi juga boleh diketahui kerana sudah menjadi standard syarat dalam mana-mana sistem berkomputer yang digunakan oleh kerajaan atau organisasi yang besar, setiap transaksi direkodkan bersama maklumat penggunanya, tarikh, masa, tempat dan rujukan transaksi.

"Tindakan segera mesti dilakukan bagi mengelakkan rekod berkenaan dihapuskan selepas kegiatan mereka diketahui," katanya.

Berita Harian X