Selasa, 7 Julai 2015 | 3:33pm

Pusat pemindahan banjir di Kundasang ditutup

ANTARA kanak-kanak yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Kem Bina Negara di Kundasang. - Foto Edmund Samunting
ANTARA kanak-kanak yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Kem Bina Negara di Kundasang. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Pusat pemindahan sementara Kem Bina Negara, di Kundasang sudah ditutup selepas 62 orang daripada 18 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada jam 8 pagi tadi.

Pegawai Daerah Ranau, Faimin Kamin, berkata mereka dibenarkan pulang selepas paras air di Sungai Mesilau kembali normal.

"Bagaimanapun, saya minta semua penduduk sentiasa berjaga-jaga susulan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang. Kita juga akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi BH.

Banjir lumpur kali kedua di Kampung Mesilau pada 5 Julai lalu, menyebabkan lebih 150 orang daripada 40 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara Kem Bina Negara.

Selain Kampung Mesilau, banjir lumpur kali kedua turut berlaku di Sungai Kadamaian dan Sungai Panataran, Kota Belud, pada petang Sabtu lalu.

Pada 15 Jun lalu, banjir lumpur berlaku di Kampung Mesilau sehingga menyebabkan lebih 200 penduduk dipindahkan ke Dewan Mini Kundasang selain turut meranapkan beberapa buah rumah penduduk kampung.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X