Rabu, 8 Julai 2015 | 1:21am
PEMAIN T-Team, Mohd Nor Hakim (dua dari kanan) diasak oleh pemain Kedah, Muhammad Syafiq Ahmad (dua dari kiri) pada Perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. - Foto Aswadi Alias

Kedah ambil alih teraju Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Beraksi di laman lawan tidak tidak menghalang Kedah untuk merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana hasil kejayaan menundukkan T-Team 2-0, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, kemenangan menyaksikan Kedah kini mengumpul 34 mata daripada 15 perlawanan dengan T-Team ketinggalan satu mata.

Gol-gol Kedah kesemuanya dijaringkan pada babak kedua menerusi pemain import, Sandro De Silva pada minit ke-47 diikuti jaringan Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-60.

Selain T-Team, Sabah turut gagal memanfaat aksi di laman sendiri, Stadium Likas apabila tewas 2-3 kepada UiTM FC.

Meledak gol seawal minit ke-14 perlawanan menerusi Abdi Kassim Sadallah, UiTM menggandakan jaringan menerusi Julien Mbom pada minit ke-55.

Pemain import, El Hadji Diouf berjaya merapatkan jurang apabila meledak jaringan pembukaan Sabah dua minit kemudian namun UiTM jelas bertekad tinggi dengan meledak jaringan ketiga menerusi Mohd Syafiq Mokhtar pada minit ke-68.

Sekalipun permainan tambah rancak, Sabah hanya memperoleh gol kedua pada lewat permainan menerusi Eamon Zayed pada masa kecederaan babak kedua..

Negeri Sembilan juga gagal memanfaat aksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 menentang SPA FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, PKNS FC meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Pulau Pinang 3-2.

Sekalipun terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Elias Sulaiman pada minit ke-45, Pulau Pinang gagal mengekang ketajaman penyerang import PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh yang meledak dua gol masing-masing pada minit ke-47 dan ke-53.

Gol ketiga PKNS dijaringkan seorang lagi pemain import, Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-76 sebelum Pulau Pinang memperoleh gol kedua pada minit ke-90 menerusi jaringan sendiri Shahrul Azhar Ture.

Dalam pada itu, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) berjaya membawa pulang tiga mata penuh hasil kemenangan 1-0 ke atas Kuantan FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan hasil jaringan tunggal kapten pasukan, Shahril Ishak pada minit ke-65.

Berita Harian X