Rabu, 8 Julai 2015 | 10:13am

Dilema Cameron Highlands tiada kesudahan

DILEMA Cameron Highlands sekali lagi mendapat perhatian. Terbaru penahanan 22 pekebun sayur yang dikatakan cuba menyogok anggota agensi penguat kuasa daripada mengambil tindakan ke atas mereka. Yang mengejutkan seorang daripada mereka yang ditahan adalah warganegara Bangladesh.

Mengikut laporan, rakyat Bangladesh ini mempunyai pegangan bernilai RM500,000 dalam satu daripada syarikat yang menjalankan aktiviti secara haram dengan menerokai tanah kerajaan. Meskipun maklumat ini belum dapat disahkan pengakuan lelaki terbabit menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Nampaknya kitaran nasib Cameron Highlands berterusan!

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dipetik sebagai berkata, operasi di Cameron Highlands sejak enam bulan lalu mendedahkan aktiviti penerokaan tanah secara haram di tanah tinggi itu masih berleluasa.

Rasuah terus berleluasa

Operasi itu yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara mendapati beberapa pengusaha kebun cuba menyogok penguat kuasa bagi melindungi kegiatan salah mereka. Pokoknya perlakuan rasuah masih berleluasa meskipun tindakan bersepadu diambil sejak tragedi tahun lalu.

Usaha bersepadu SPRM dan Majlis Keselamatan Negara ini patut dihargai dan disambut baik. Ops Sejuk yang dilancarkan ini menunjukkan agensi penguat kuasa dari semasa ke semasa mengambil tindakan proaktif. Diharap tindakan bersepadu ini diteruskan bagi memberi isyarat yang tegas bahawa operasi pemantauan berterusan akan diambil bagi melindungi dan memulihara khazanah Cameron Highlands.

Tahun lalu, SPRM mengesyorkan 12 perkara untuk menyelamatkan Cameron Highlands. Antara perkara yang harus dikongsi ialah mengkaji semula dasar pemberian Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi menyekat penerokaan tanah kerajaan secara haram, mengelakkan pembinaan bangunan kekal di atas tanah LPS serta menguatkuasakan Akta Pemuliharaan Tanah 1960/Enakmen Pahang No. 13 (denda dan penalti lebih berat).

Syor lain termasuk menentukan dasar jelas berhubung pembangunan tanah tinggi Cameron Highlands. Penetapan dasar ini perlu bagi memudahkan hala tuju penguatkuasaan dan pentadbiran tanah Cameron Highlands; mewujudkan dasar kawalan kemasukan dan pengesanan pekerja asing khusus di Cameron Highlands supaya pembukaan kawasan pertanian secara haram dapat dibendung serta mewujudkan pasukan petugas khas bagi penguatkuasaan berkesan.

Tindakan proaktif SPRM ini adalah supaya satu usaha bersepadu akan diambil oleh semua pihak bagi menutup ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta kelemahan pentadbiran dalam mengendalikan isu penguatkuasaan dan pentadbiran tanah di Cameron Highlands.

Berdasarkan laporan media juga boleh dirumuskan bahawa masih wujud kelemahan dari segi penguatkuasaan dan pemantauan. Kemungkinan cadangan dikemukakan SPRM belum diikuti dengan tindakan tegas dan berkesan. Soal kecuaian juga tidak dapat dielakkan dan masih ada agensi yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka sepenuhnya.

Perlu tindakan tegas

SPRM dalam perkara ini hanya menjalankan siasatan dari segi kesalahan rasuah, manakala isu penerokaan haram dan pendatang asing adalah di bawah bidang kuasa agensi lain yang berkaitan. Isu ini sudah lama sejak tahun lalu dan tindakan lebih tegas perlu diambil pihak penguat kuasa berwajib dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Ini termasuk tindakan penguatkuasaan berkaitan Akta Racun dan pendatang asing.

Jangan meletakkan semua tanggungjawab ini kepada SPRM. Jika setiap jabatan yang berkaitan menjalankan tugas masing-masing sekurang kurangnya SPRM dapat memberi tumpuan kepada kes lain yang ada kena mengena dengan rasuah. Saya pasti SPRM sedia berkongsi maklumat dengan agensi lain bagi memastikan permasalahan yang berlaku dapat diatasi sehingga akar umbi.

Sementara kita perlu mengakui tindakan diambil selepas tragedi banjir lumpur yang turut meragut nyawa, tindakan konkrit yang berterusan perlu diambil dan dilaksanakan. Hanya tindakan tegas yang menyeluruh yang boleh menyelamatkan Cameron Highlands daripada terus digondol oleh pihak yang hanya mengutamakan keuntungan bagi diri masing-masing.

SPRM dan Majlis Keselamatan Negara perlu terus memantau perlakuan jenayah rasuah dan mengambil tindakan sewajarnya. Begitu juga dengan Pihak Berkuasa Tempatan yang harus bertindak tegas ke atas pekebun sayur yang masih menjalankan aktiviti tidak sah.

Isu yang menyelubungi Cameron Highlands bukan hanya membabitkan elemen perlakuan rasuah. Sebaliknya, ia merentasi jenayah rasuah. Kita yakin pihak berkuasa juga sedia maklum perkara ini. Isu Cameron Highlands bukan sesuatu yang baharu. Ia berada di depan mata kita sejak dua dekad lalu.

Isu berterusan. Penyelesaian konkriti belum ada. Kita tiada pilihan. Hanya tindakan tegas dengan disokong oleh budaya berintegriti boleh menyelamatkan Cameron Highlands dan mewarisi khazanah ini kepada generasi akan datang. Cameron Highlands memerlukan tindakan tegas yang berterusan, berintegriti dan pengurusan sistem dan prosedur yang holistik.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X