Rabu, 8 Julai 2015 | 11:32am
PELAKON sedang melakukan latihan untuk persembahan teater Hexa X Unus.

Amar Asyraf ilhamkan teater kerana meminati P Ramlee

Amar Asyraf. -Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah Amar Asyraf menjelaskan faktor utama beliau tampil dengan teater Hexa X Unus kerana meminati karya agung seniman lagenda Tan Sri P Ramlee.

Menurut Amar, teater Hexa X Unus itu diambil dari nombor latin yang membawa maksud enam lawan satu.

Ia adalah karya baharu interpretasi Amar berdasarkan filem Enam Jahanam.

"Saya memang meminati karya P Ramlee. Sebelum ini saya pernah mengadaptasi Sitora Harimau Jadian ke pentas dengan tajuk Sitora namun jalan ceritanya sama sekali berbeza berbanding filem asal.

"Kali ini ilham datang kerana saya ingin membuat persembahan pentas yang mempunyai banyak aksi berlawan di pentas, jadi dengan itu saya memilih filem Enam Jahanam.

POSTER teater Hexa X Unus.

"Kami sudah menjalani latihan bermula dari hujung bulan Mei lalu. Seluruh produksi begitu teruja dan tidak sabar untuk beraksi membuat persembahan. Buat julung kalinya juga Sari Yanti mencuba bidang teater," kata Amar kepada BH Online.

Teater Hexa X Unus berkisar mengenai pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku di Bandar Unus melibatkan ahli politik berprofil tinggi.

Seorang anggota polis yang ditugaskan untuk menyiasat kes itu menyedari ia akan membawa kepada pendedahan yang lebih besar.

Antara pelakon yang terlibat dalam teater ini ialah Aqasha, Kamal Adli, Sari Yanti, Wan Raja, Jay Iswazir, Ku Hariz, Idzham Ismail dan Carliff Carleel.

Teater ini turut menampilkan sentuhan muzik kreatif oleh Noh Salleh yang berjudul Sang Penikam.

Teater karya Amar dan Aishah Hoo ini bakal membuka pentas di Kuash Theater, Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Taman Tun Dr Ismail pada 6 hingga 9 Ogos.

Tiket dijual pada harga RM35 dan RM60. Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan urusan pembelian tiket hubungi 012-6204045.

Berita Harian X