Rabu, 8 Julai 2015 | 1:05pm

Ops Selamat 10-24 Julai


KHALID menggunakan Alat Pengesan Had Laju sambil diperhatikan oleh Pegawai Trafik Bukit Aman, Koperal Azizan Din (kiri) selepas melancarkan kempen Ops Selamat 7/2015 sempena Aidilfitri di KL Sentral hari ini. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Ops Selamat 7/2015 sempena Hari Raya Aidilfitri akan dilaksanakan selama 15 hari bermula 10 Julai ini hingga 24 Julai depan, dengan objektif sama iaitu memberi penekanan kepada keselamatan harta benda serta kediaman dan meminimumkan kemalangan jalan raya.

Mengekalkan tema terdahulu, 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi', Ops Selamat kali ini akan memberi penekanan lebih kepada pengguna motosikal berikutan pengguna kenderaan itu sering mendahului statistik terbabit kemalangan maut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata analisis menerusi beberapa Ops Selamat sebelum ini mendapati sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan dan sikap mementingkan diri sendiri sering menjadi punca kemalangan.

"Untuk Ops Selamat ketujuh ini, pendekatan operasi masih memfokuskan penguatkuasaan undang-undang jalan raya, advokasi, pencegahan jenayah serta omnipresence (kehadiran polis).


KHALID membetulkan topi keledar seorang penunggang motosikal pada pelancaran kempen Ops Selamat 7/2015 sempena Aidilfitri di KL Sentral hari ini. - Foto Sairien Nafis

"Antara operasi yang akan dijalankan adalah Ops Perangkap Laju di kawasan sering berlaku kemalangan, Ops Motosikal, selain tumpuan kepada pemandu yang memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu," katanya selepas melancarkan Ops Selamat tajaan Telekom Malaysia (TM) di KL Sentral, sebentar tadi.

Katanya, seperti Ops Selamat sebelum ini, saman maksimum RM300 akan dikeluarkan untuk setiap kesalahan dan sebarang rayuan pengurangan tidak akan dilayan.

Berita Harian X