Rabu, 8 Julai 2015 | 3:02pm

A Aida senarai hitam pengarah Suhaimi Lua


Penerbit drama A Aida (kiri) dan Pengarah Suhaimi Lua.

KUALA LUMPUR: Penerbit drama A Aida menyenarai hitam pengarah Suhaimi Lua daripada terus bekerjasama dengan A Aida Productions kerana sikap tidak bertanggungjawab pengarah itu ketika diamanahkan untuk menerajui drama bersiri berjudul Puteri Gunung Ledang.

Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 44, berkata dia terkejut dengan tindakan sambil lewa pengarah muda itu dan hanya menyedari kecacatan drama bersirinya ketika menjalani proses penyuntingan.

"Saya ada menghubungi Suhaimi berhubung perkara ini namun beliau menyalahkan pihak lain pula. Tiada gunanya menuding jari kepada orang lain kerana dia sendiri perlu bertanggungjawab. Di sini saya tegaskan dia (Suhaimi) telah disenarai hitam dalam kamus hidup saya.

"Ini adalah sebabnya saya lebih selesa bekerja dengan orang yang biasa saya kerja. Kawan saya yang menyarankan saya untuk memberi peluang kepada pengarah baru dan begini pula hasilnya. Bukan sedikit, tetapi saya kerugian lebih dari RM30,000 bagi proses penggambaran semula beberapa adegan penting.

"Saya rasa drama bersiri ini antara skrip terbaik yang saya hasilkan, namun ia dirosakkan oleh sikap tidak bertanggungjawab Suhaimi. Malah, lebih 100 babak yang terlepas pandang itu adalah adegan penting yang menjadi kekuatan drama ini," katanya ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, Ahad lalu.

"Selain terpaksa menanggung kos kerugian yang agak tinggi, saya juga terpaksa menyusun semula jadual artis yang terbabit dengan drama bersiri ini. Alhamdulillah, pelakon memberikan komitmen untuk menyelesaikan baki penggambaran biarpun sibuk dengan tugas lain.

"Kali pertama saya berhadapan dengan situasi begini sepanjang berkecimpung sebagai penerbit. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi ini dan saya enggan memanjangkan lagi isu ini," katanya.

Puteri Gunung Ledang membariskan pelakon seperti Atikah Suhaime, Ammar Alfian, Sabhi Saddi, Aida Khalida, Amyza Aznan, Mimi Ernida, Idris Khan dan Keena Mentor. Drama itu disiarkan menerusi saluran internet, HyppSensasi (116) bermula 15 Jun lalu setiap hari Isnin dan Selasa jam 8.30 malam.

Sementara itu, Suhaimi ketika dihubungi menzahirkan rasa terkilan berhubung isu itu kerana menganggap ia boleh diselesaikan secara baik. Dia tidak pernah menuding jari kepada orang lain dan menjelaskan bersedia untuk mengarah semula baki babak drama itu dan hasrat itu sudah dijelaskan kepada A Aida.

Katanya, masalah yang timbul membabitkan seluruh produksi kerana bukan mudah untuk seorang pengarah berurusan dengan lebih 1,300 babak dalam tempoh masa yang begitu suntuk.

"Sejujurnya saya terkilan kerana perkara ini dibawa terus kepada pihak media. Hal ini boleh diselesaikan dengan berbincang secara baik. Saya tidak pernah melarikan diri daripada masalah dibangkitkan kerana menganggap itu adalah perkara biasa dalam sesebuah produksi.

"Seratus babak yang tiada seperti diperkatakan itu sebenarnya hanya sekitar lapan peratus saja tidak dirakam dan saya bertanya bahagian mana yang tertinggal itu. Malah, saya turut memberikan tarikh untuk merakam semula babak-babak yang tiada itu.

"Apabila anda berurusan dengan drama bersiri sebanyak 30 episod dengan lebih 1,300 babak untuk dirakam, ia bukan kerja pengarah untuk ingat semua benda tambahan pula saya hanya diberi masa dua bulan untuk menyiapkan drama berkenaan," jelas Suhaimi.

Selain kekangan masa, Suhaimi akui tumpuannya turut terganggu kerana diberikan tanggungjawab untuk mengarahkan telefilem Ramadan Jangan Tinggalkan Kami ketika sedang sibuk dengan Puteri Gunung Ledang.

"Tumpuan saya juga terganggu apabila terpaksa buat dua benda dalam satu masa dan kebimbangan itu pernah saya luahkan kepadanya tetapi tidak diendahkan. Selain memerlukan tempoh lebih lama untuk mengarahkan drama bersiri 30 episod, saya dibebani pula dengan tanggungjawab lain.

"Ini kali pertama sepanjang bergelar pengarah saya terpalit dengan perkara seperti ini tetapi tidak mengapa ia adalah satu ujian buat saya pada bulan Ramadan yang mulia ini," katanya mengakhiri wawancara.

51 dibaca
Berita Harian X