Jumaat, 10 Julai 2015 | 12:59pm

Ceti dihukum gantung sampai mati kerana edar dadah

IPOH: Seorang ceti dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan mengedar dadah empat tahun lalu.

Tertuduh, S Muniandy, 33, berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang, juga didenda sebanyak RM70,000 atau dua tahun penjara jika gagal bayar denda berkenaan selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan keempat iaitu memiliki dadah jenis ketamin.

Pesuruhjaya Kehakiman, Noorin Badaruddin menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Mahkamah mendapati pihak Timbalan Pendakwa Raya pula berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, dan dengan itu tertuduh disabitkan bersalah terhadap semua pertuduhan," katanya.

Tertuduh yang mempunyai dua anak, didakwa mengedar dadah jenis methampetamine seberat 336.5 gram, heroin seberat 504.17 gram dan monoacetylmorphines seberat 212.03 gram.

Bagi tiga pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Pertuduhan keempat pula, dia didakwa memiliki dadah ketamin seberat 3.92 gram dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di dalam rumah nombor Blok C-1-3 (Condo), Jalan Impiana 2, Taman Meru Impiana di sini kira jam 4.45 petang pada 22 Oktober 2011.

Pendakwaan diwakili How May Ling, manakala tertuduh diwakili Datuk P M Nagarajan dan Mohd Izhar Ahmad Azmi.

Berita Harian X