Jumaat, 10 Julai 2015 | 6:30pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat Sulaiman Adam, 34, menulis khat surah al- Quran ketika melawat pameran al - Quran sebelum merasmikan Tapak Kompleks Nasyrul Quran di Presint 14, Putrajaya. Turut sama Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa (kiri) dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat (kanan). - Foto Fariz Iswadi Ismail

PM rasmi tapak kompleks Nasyrul Quran

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi merasmikan tapak kompleks Nasyrul Quran dan melancarkan Tabung Wakaf Kertas, di Presint 14, di sini.

Kompleks terbabit akan dibangunkan atas tapak seluas 2.1 hektar dengan kos bangunan, mesin cetak dan mesin jilid sebanyak RM60 juta. Kompleks Nasyrul Quran adalah pusat percetakan Mushaf bersepadu utama di Asia Tenggara, yang berkeupayaan menjadi pusat pengeluaran al-Quran kedua terbesar di dunia.

Projek yang dibangunkan menerusi kerjasama antara kerajaan dan Yayasan Restu itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2016. Apabila siap, kompleks Nasyrul Quran dijangka mencetak sejuta naskah al-Quran untuk 70 peratus keperluan wakaf dalam negara dan selebihnya untuk minoriti Muslim di luar negara.

Kilang berkenaan berupaya mencetak sehingga tiga juta naskah setahun.

Sempena majlis haro ini, Perdana Menteri turut menyerahkan bantuan berjumlah RM25 juta kepada 116 sekolah pondok yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri.

Berita Harian X