Jumaat, 10 Julai 2015 | 9:23pm

Persiapan Syawal musnah rumah dilanda ribut

PERSEDIAAN bagi menyambut Syawal bagi sebuah keluarga di Kampung Punang Lawas di sini musnah akibat rumah mereka dilanda ribut petang tadi.

LIMBANG: Persediaan bagi menyambut Syawal bagi sebuah keluarga di Kampung Punang Lawas di sini musnah akibat rumah mereka dilanda ribut petang tadi.

Awang Hassan, 65, berkata ribut pada jam 3.30 petang itu menerbangkan bumbung rumahnya.

"Ribut terlalu kuat yang tidak pernah berlaku sebelum ini menyebabkan kami sekeluarga bertempiaran lari keluar dari rumah mencari perlindungan," katanya.

Beliau dan anggota keluarganya kini menetap di rumah iparnya.

Awang berharap beliau sekeluarga diberi bantuan menjelang Aidilfitri ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kong, berkata ribut turut menyebabkan banyak pokok tumbang dan bumbung rumah diterbangkan angin di Miri.

"Pokok tumbang dan atap terbang di kawasan perumahan Holiday Park, Bakam dan Servay Jaya," katanya dan menambah terdapat juga maklumat mengenai bumbung diterbangkan angin di Rumah Panjang Awing dan bumbung sebuah rumah di Kampung Subak Sibuti.

Law turut menafikan berlaku kemalangan jiwa seperti yang disebar menerusi media sosial.

Turut diterbangkan angin ialah bumbung jejantas berhampiran Majlis Bandaraya Miri.

Miri adalah antara kawasan yang diramal Jabatan Meteorologi sebelum ini sebagai bakal mengalami angin kencang dan laut bergelora kategori pertama.

- BERNAMA

Berita Harian X