Jumaat, 10 Julai 2015 | 10:25pm

Naza TTDI meterai perjanjian pajakan tanah dengan HomePro

SM Faliq, (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Urusan Home Product Center (Malaysia) Sdn Bhd, Anuchar Jitjaturunt, (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Antara Naza TTDI Sdn Bhd dan Home Product Center (Malaysia) Sdn Bhd di Hotel Le Meridien. Jalan Stesen Sentral. - Foto Azhar Ramli
SM Faliq, (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Urusan Home Product Center (Malaysia) Sdn Bhd, Anuchar Jitjaturunt, (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Antara Naza TTDI Sdn Bhd dan Home Product Center (Malaysia) Sdn Bhd di Hotel Le Meridien. Jalan Stesen Sentral. - Foto Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Naza TTDI Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian pajakan tanah selama 32 tahun dengan Home Product Centre (Malaysia) Sdn Bhd (HomePro), membolehkannya mendirikan kedai menambah baik rumah terkemuka di TTDI Gateway di Shah Alam.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin, berkata kedai HomePro dari Thailand itu akan dibina di atas tapak 1.63 hektar dengan kos RM2.5 bilion.

"Kehadiran kedai HomePro menandakan kerjasama antarabangsa pertama di TTDI Gateway.

"Ia akan merangsang pembangunan TTDI Gateway untuk menjadi hab gaya hidup sebenar di Shah Alam," katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian pajakan dengan HomePro bagi pembangunan kedai itu di sini, hari ini.

HomePro diwakili Pengarah Urusannya di Malaysia, Anuchar Jitjaturunt.

Merangkumi tapak 15.7 hektar di Seksyen 13, Shah Alam, TTDI Gateway akan dibangunkan dalam tiga fasa, mengandungi pejabat, apartmen perkhidmatan dan outlet runcit dan dijangka siap pada 2020.

Sementara itu, Jitjaturunt berkata, TTDI Gateway akan menempatkan kedai keduanya di Malaysia selepas IOI City Mall, Putrajaya.

Kedai HomePro di TTDI Gateway akan dibina dengan kos RM60 juta dan kerja pembinaan dijangka bermula pada suku pertama tahun depan dan disasar dibuka pada akhir 2016.

Jitjaturunt berkata, kawasan jualan akan meliputi 9,290 meter persegi daripada keluasan binaan 26,012 meter persegi.

Dirangsang oleh penerimaan baik daripada pelanggan terhadap kedai pertamanya, beliau berkata HomePro optimis akan kejayaan kedainya di TTDI Gateway.

Menurut beliau, HomePro mencatat jualan bernilai RM30 juta dalam enam bulan pertama pembukaan kedai pertamanya di IOI City Mall dan menyasarkan jualan RM60 juta tahun ini.

HomePro memasuki pasaran Malaysia akhir tahun lepas dengan menawarkan lebih 35,000 produk.

Syarikat itu merancang membuka 12 kedai dalam tempoh lima tahun akan datang dengan jumlah pelaburan RM500 juta.

- BERNAMA

Berita Harian X