Jumaat, 19 September 2014 | 11:58am

MH17: Jenazah dua beradik tiba di Kuching


ANGGOTA tentera mengusung keluar keranda Muhammad Afzal Tambi dan Marsha Azmeena dari pesawat Hercules C-130 di Pangkalan TUDM Kuching, hari ini. - Foto NSTP

KUCHING: Jenazah dua beradik - Muhammad Afzal Tambi, 17, dan Marsha Azmeena, 15, selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching, di sini sebentar tadi.

Pesawat Hercules C-130 TUDM yang menerbangkan kedua-dua jenazah sejurus tiba dari Amsterdam, Belanda di Kompleks Bunga Raya, KLIA Sepang mendarat kira-kira ja 11.30 pagi.

Kepulangan jenazah anak-anak pasangan jurutera, Allahyarham Tambi Jiee, 49, dan Allahyarham Ariza Ghazalee, 46, yang turut terkorban dalam nahas pesawat MH17 di timur Ukraine, 17 Julai lalu disambut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.


ANGGOTA tentera mengusung keluar keranda Muhammad Afzal Tambi dan Marsha Azmeena dari pesawat Hercules C-130 di Pangkalan TUDM Kuching, hari ini. - Foto NSTP

Selain Wan Junaidi, kenamaan lain yang turut menyambut ketibaan jenazah ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof; Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Misnu Taha.

Kepulangan dua jenazah itu turut diiringi tujuh sepupu rapat dan rakan sepermainan dari kecil.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Negeri, Petra Jaya untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang selepas Solat Jumaat.

Jenazah Muhammad Afzal dan Marsha Azmeena akan dikebumikan bersebelahan pusara ibu bapa dan abang sulung mereka, Muhammad Affif, 19.

Keluarga Tambi adalah sebahagian daripada 298 penumpang, termasuk anak kapal MH17 yang terbunuh dalam insiden berkenaan, yang disifatkan terburuk dalam sejarah penerbangan dunia.

Ketika ini, usaha sedang dijalankan di Hilversum, Belanda bagi mengenalpasti jenazah anak bongsu pasangan itu, Muhammad Afruz, 13.

Sementara itu, jenazah dua beradik terbabit kemudiannya tiba di Masjid Jamek, di Petra Jaya tepat jam 12.35 tengahari tadi.

Suasana pilu menyelubungi ketika keranda dibawa masuk ke dalam masjid yang kebetulan ketika azan Zohor berkumandang.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, serta beberapa Menteri Kabinet dan kenamaan negeri turut menyambut ketibaan jenazah di masjid itu.

Jenazah mangsa pesawat MH17 itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang selepas solat Jumaat.

Berita Harian X