Sabtu, 11 Julai 2015 | 3:35pm

A Aida selesa menjanda


PENERBIT drama, A Aida. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR : Penerbit drama A Aida berkata dia selesa hidup menjanda tanpa kehadiran lelaki bergelar suami dalam hidupnya.

Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 44, berkata buat masa ini pintu hatinya tertutup dan serik untuk bercinta. Malah dia tidak ralat memegang status janda walaupun dianggap negatif oleh sesetengah pihak.

"Saya tidak pernah merasa gembira dan bahagia sebegini. Tidak terikat dan bebas untuk melakukan apa saja yang saya inginkan tanpa menurut arahan sesiapa.

"Boleh dikatakan menjanda ini satu rahmat buat diri saya kerana ia membuka mata saya betapa indahnya hidup ini. Kalau boleh tidak perlu wujudnya orang ketiga yang mengganggu kehidupan saya dan anak-anak.

"Kes nafkah dulu pun kiranya sudah selesai namun bukanlah seperti yang dijanjikan. Tahun ini adalah tahun kedua saya beraya tanpa suami tetapi Alhamdulillah hidup saya disinari dengan kehadiran anak-anak dan keluarga saya," kata Aida kepada BH Online.

Sebelum ini, A Aida menerusi peguam syarie, Zulkifli Che Yong memfailkan saman Penghutang Penghakiman mengikut Seksyen 176 Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1998 terhadap bekas suaminya, Deputi Superintendan (DSP) Suffian Sulaiman yang gagal menunaikan janji untuk membayar nafkah terhadap anak mereka, Muhammad Rahul.

Mereka berkahwin pada 20 April 2007 dan Suffian adalah seorang duda sebelum ini turut mempunyai beberapa orang anak hasil perkahwinan terdahulu.

Mereka sah bercerai talak dua selepas konflik rumah tangga mereka tidak berkesudahan sehingga memaksa A Aida memohon untuk bercerai secara fasakh sebelum Suffian bersetuju melepaskannya secara baik.

Sebelum berkahwin dengan Suffian, A Aida juga pernah bernikah dengan bekas vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada tahun 1994 dan berpisah pada tahun 2003.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 18, dan Wan Azevanatassha yang berusia 13 tahun.

A Aida juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis sebelum mengenali Suffian.

Berita Harian X