Ahad, 12 Julai 2015 | 12:03am
KESULTANAN Melayu memainkan peranan besar sebagai pusat penyebaran, perkembangan dan pendidikan ilmu Islam. - Foto hiasan
KESULTANAN Melayu memainkan peranan besar sebagai pusat penyebaran, perkembangan dan pendidikan ilmu Islam. - Foto hiasan

Ahlul Bait, pemerintah bangunkan kesultanan Melayu


KESULTANAN Melayu memainkan peranan besar sebagai pusat penyebaran, perkembangan dan pendidikan ilmu Islam yang kemudian memunculkan empayar-empayar sehebat Kesultanan Samudera Pasai dan Kesultanan Melaka sebagai peneraju kepada kegemilangan Islam di Nusantara.

Pemerintah dan ulama terutama dalam kalangan Ahlul Bait atau berdarah keturunan Nabi Muhammad SAW umpama isi dan kuku serta tidak diketepikan dalam urusan pentadbiran sehinggalah kepada hal ehwal agama.

Menurut Pengasas Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam (KEMUDI), Tun Suzana Tun Othman menerusi kajiannya Peranan Ahlul Bait Rasulullah Dalam Islamisasi, Ketamadunan dan Peradaban Melayu, proses Islamisasi bergerak dengan cepat apabila empayar besar yang mendukung Islam menghantar ulama untuk berdakwah ke tanah jajahannya.

PENGASAS Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam (KEMUDI), Tun Suzana Tun Othman. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
PENGASAS Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam (KEMUDI), Tun Suzana Tun Othman. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Empayar Kesultanan Melaka dan Pasai

"Kesultanan Melaka pernah menjadi sebuah empayar yang besar, maka dalam peranannya sebagai pusat perkembangan serta penyebaran Islam, Raja-raja Melaka menghantar pendakwah serta alim ulama ke daerah jajahan takluknya seperti Johor, Pahang, Jambi, Kampar Bengkalis, Bintang dan Pulau Karimun.

"Melaka juga menjadi acuan, warna dan intipati jajahan tersebut termasuk dalam pengambilan feqah Mazhab Imam Syafiee,"katanya.

Tambahnya, seorang ulama Ahlul Bait dari Jeddah yang bernaung di bawah Syarif-syarif Mekah bernama Sayyid Abdul Aziz yang bertanggungjawab mengislamkan Raja Melaka ketika itu, Sultan Muhammad Shah selain turut menjadi penasihat dalam mencorakkan pemikiran, tindakan dan keputusan Baginda selama lapan tahun.

"Selain menyampaikan dakwah kepada Sultan Muhammad Shah, anak kepada Sayyid Abdul Aziz iaitu Sayyid Maulana Yusuff dan cucunya, Sayyid Menawar turut menjadi kadi di Melaka dan membimbing hampir kesemua Raja-raja Melaka seperti Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah I.

"Ini membabitkan satu tempoh yang panjang dan mampu meninggalkan pengaruh serta legasi Ahlul Bait yang amat besar dalam teras pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka,"katanya.

Selain itu, tambahnya, Islam turut tersebar pada era Kesultanan Samudera Pasai sebagaimana tertulis dalam catatan pengembara terkenal, Ibnu Batutah yang tiba di Samudera pada 1345 Masihi mengenai penghormatan serta layanan baik oleh raja dan pembesar yang diterima golongan ulama ketika menjalankan misi dakwah.

"Ada dalam catatan Ibnu Batutah yang menyebut Sultan Al Malik Al Zahir, dari golongan raja yang mulia dan bermurah hati, berpegang kepada Mazhab Al-Syafiee, mengasihani ulama yang datang ke majlisnya untuk membaca dan muzakarah.

"Kesultanan Samudera Pasai yang wujud selepas pengislaman oleh kerabat Syarif Mekah, Syeikh Ismail kemudian menjadi pusat perkembangan dan tamadun Islam yang pesat dan amat penting.

"Dalam zaman kebelakangannya, dua orang Putera Pasai membawa syiar Islam ke Jawa dan Pattani, iaitu Syariff Hidayatullah atau lebih dikenali dengan gelaran Sunan Gunung Jati yang menakluki Jawa Barat, kemudian bertanggungjawab mendirikan Kesultanan Banten dan Cirebon.

"Manakala, Syeikh Sidi pula mengislamkan Raja Pattani di Selatan Siam,"katanya.

PENCERAMAH, Tun Suzana Tun Othman menyampaikan ceramah bertajuk Peranan Ahlul-Bait Rasulullah dalam Islamisasi, Ketamadunan dan Peradaban Alam Melayu pada Program Seminar 'Rantaian Ahlul Bait di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan'. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
PENCERAMAH, Tun Suzana Tun Othman menyampaikan ceramah bertajuk Peranan Ahlul-Bait Rasulullah dalam Islamisasi, Ketamadunan dan Peradaban Alam Melayu pada Program Seminar 'Rantaian Ahlul Bait di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan'. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Sultan Pertama Dalam Kalangan Ahlul Bait di Brunei Darussalam

Tun Suzana turut memberitahu, legasi pemerintahan golongan ulama daripada keturunan Ahlul Bait pula tercetus pada awal abad ke-15 di Brunei Darussalam.

"Dalam Kesultanan Brunei Darussalam, ulama Ahlul Bait, Syarif Ali yang berasal dari keturunan Syarif atau Raja-raja Mekah dinikahkan dengan puteri Sultan Ahmad dan apabila Baginda mangkat, beliau diangkat sebagai Sultan Brunei ke-3.

"Ia sekali gus menyaksikan permulaan kepada sejarah kesultanan Ahlul-Bait di Nusantara dan Syarif Ali memanfaatkan peranannya sebagai pemerintah dan ulama untuk berkhidmat demi syiar Islam.

"Jasa Syarif Ali turut dicatat oleh ulama dan sejarawan Brunei, Khatib Abdul Latif pada 1807 Masihi yang menyatakan maka Syarif Ali inilah mendirikan agama Islam dan mengeraskan syariat Nabi kita Muhammad di dalam Brunei dan membina masjid-masjid,"katanya pada Seminar Rantaian Ahlul Bait di Alam Melayu yang berlangsung di Dewan Yayasan Restu, Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam, baru-baru ini.

Selain membina masjid, Syarif Ali juga menjadi Sultan pertama di Brunei yang mengimamkan sembahyang dan menjadi khatib untuk solat Jumaat serta disayangi rakyat kerana turut dikenali sebagai pemerintah adil.

SYEIKH Rohimuddin An-Nawai Al-Bantani ketika memberikan ceramah bertajuk Manhaj Tarbiyah dan Dakwah Ahlulu Bait Alam Melayu pada Program Seminar 'Rantaian Ahlul Bait di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan'. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
SYEIKH Rohimuddin An-Nawai Al-Bantani ketika memberikan ceramah bertajuk Manhaj Tarbiyah dan Dakwah Ahlulu Bait Alam Melayu pada Program Seminar 'Rantaian Ahlul Bait di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan'. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Kedatangan Ahlul Bait Dari Perspektif Ulama Indonesia

Sementara itu, dalam forum bertajuk Manhaj Tarbiyah Ahlul Bait Alam Melayu yang berlangsung pada acara sama, ulama kelahiran Indonesia yang mempunyai susur galur Ahlul Bait, Sidi Syaikh Rohimuddin Nawawi Al Bantani berkata, sehingga kini masih ada yang mendebatkan perselisihan pandangan mengenai jangka waktu sebenar kedatangan Islam di Nusantara.

"Islamisasi di Nusantara dan Ahlul Bait tidak boleh dipisahkan, namun pelbagai perbezaan mengenai abad sebenar kedatangannya masih belum terungkai dengan ada yang berpandangan ia datang pada abad ke- 8, 10 dan ada juga yang berkata, ia muncul pada 14 Masihi.

"Pada pandangan saya, semua pendapat ini benar kerana ia merujuk kepada kedatangan pendakwah Islam yang tidak datang secara serentak, tetapi dalam fasa masa berbeza atau bergelombang.

"Saya juga melihat ada tiga kelebihan Islamisasi yang berlaku di Nusantara sepanjang abad ini yang menjadi jati diri kita iaitu kesufian, Ahlul Bait dan ajaran Islam bersandarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Katanya, tiga gelombang besar Islamisasi Nusantara bermula pada awal abad ke 8 hingga 9 Masihi dengan kedatangan rombongan ulama yang dihantar oleh Saidina Uthman Affan seramai 13 orang yang ketika itu di bawah pimpinan Saad Abi Waqqash ke kawasan Asia Tenggara dan Indochina.

ORANG ramai yang hadir pada Program Seminar 'Rantaian Ahlul Bait di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan' di Yayasan Restu Kompleks Taman Seni Islam Selangor. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
ORANG ramai yang hadir pada Program Seminar 'Rantaian Ahlul Bait di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan' di Yayasan Restu Kompleks Taman Seni Islam Selangor. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

"Kedatangan pada abad ke 8 dan 9 Masihi ini boleh ditakrif sebagai fasa pengenalan sebelum masuknya gelombang kedua pada abad 10 hingga 13 Masihi yang mewakili misi penyebaran Islam.

"Mereka datang secara individu atau kolektif ke seluruh pelosok Nusantara melalui propaganda ekonomi serta menjalin hubungan dengan penguasa setempat sambil membentuk ideologi Islam pada masyarakat kecil di sekitarnya.

"Pada fasa ini, ia didominasi oleh tokoh sufi dan Ahlul Bait keluarga Al Hasani dari Maghribi dan Persia di era kekuasaan Dinasti Bani Abbasiyah di Baghdad, sehinggalah mereka mampu membentuk kerajaan Islam Ahlul Bait di Perlak, Pasai, Acheh dan Melaka,"katanya.

Tambahnya, fasa kejayaan gelombang kedatangan Islam pula berlaku pada abad ke-14 hingga 16 Masihi yang dipelopori golongan sufi Ahlul Bait dari keluarga Al Husaini.

"Pada peringkat ketiga ini empayar Islam semakin meluas dengan dipelopori oleh ulama dan pendakwah AhlulBait yang sebahagiannya amat dikenali seperti Wali Songo di tanah Jawa.

"Kejayaan itu turut ditandai dengan kemegahan Kesultanan Islam Nusantara dan kewujudan lembaga-lembaga pengajian Islam Nusantara sebagai teras untuk memupuk pendidikan dalam kalangan masyarakat untuk mempelajari dan mendalami agama.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X