Ahad, 12 Julai 2015 | 9:58am

Gunung berapi Colima, Mexico semakin aktif, penduduk dipindahkan


GUNUNG berapi di Colima mula memuntahkan debu. - Foto AFP

COLIMA, Mexico: Penduduk beberapa perkampungan di barat negeri ini dipindahkan manakala sebuah lapangan terbang ditutup berikutan kebimbangan kemungkinan letusan terbesar abad ini selepas gunung berapi Colima semakin aktif.

Lebih 200 penduduk sudah dipindahkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini apabila gunung berapi itu memuntahkan semakin banyak debu dan lava.

Lapangan terbang Colima juga ditutup kepada penerbangan komersial dan pesawat persendirian, kata Gabenor Mario Anguiano Moreno.

Aktiviti gunung berapi itu meningkat sejak Khamis dan mula memuntahkan debu pada Jumaat menyebabkan beberapa perkampungan di kaki gunung itu diselimuti debu setebal lima sentimeter, kata pihak berkuasa.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, aktiviti gunung berapi itu menyamai keadaannya pada tahun 1913 apabila berlaku letusan besar sehingga menyebabkan wilayah itu dilitupi debu tebal.

Mengikut kementerian itu, ada tiga kemungkinan berhubung gunung berapi itu; keadaan kembali normal dalam beberapa minggu, letusan besar seperti tahun 1913 atau puncak gunung berapi runtuh. - AFP

113 dibaca
Berita Harian X