Isnin, 13 Julai 2015 | 10:37am

Jualan daging Mantai Perdana 2015 bermula 10 malam esok

HASIM Rusdi .- Foto Wan Nur Amirah Wan Mohd Redza

SEREMBAN: Program Mantai Perdana 2015 anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan akan berlangsung di kawasan lapang berhampiran Masjid At-Taqwa, Paroi, esok.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi, berkata melalui program itu orang ramai boleh membeli daging lembu, kerbau, rusa dan kambing dengan harga yang lebih murah, berbanding harga pasaran.

"Program ini akan dilancarkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan pada jam 4.45 petang dan jualan daging Mantai Perdana ini akan bermula pada jam 10 malam. Jualan daging ini akan disambung keesokan harinya (Rabu) hingga daging habis dijual.

"Kami menganggarkan 31,700 kilogram daging lembu akan dijual untuk rakyat Negeri Sembilan pada hari itu. Sebanyak 60 ekor lembu pedaging dan 85 ekor lembu kampung akan disembelih pada hari itu," katanya di sini, hari ini.

Katanya, kali ini pihak urus setia program akan membuat sistem kupon untuk memastikan 10,000 orang dapat membeli daging yang diperlukan.

Hasim berkata selain daging lembu, turut dijual pada program itu ialah daging kerbau, daging rusa, daging kambing, ayam, itik dan puyuh serta keperluan lain hari raya.

Program itu yang masuk tahun kelapan tahun ini, sebelum ini diadakan di tapak bekas Kem Paroi.

Ia adalah antara usaha kerajaan negeri membantu meringankan beban perbelanjaan orang ramai sempena Aidilfitri yang menjelang tiba.

Program tahunan itu juga mendapat komitmen daripada penternak haiwan.

Mantai adalah acara tradisi masyarakat negeri ini bagi menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal. - BERNAMA

Berita Harian X