Isnin, 13 Julai 2015 | 9:48pm

LPT: Pemandu diminta berhati-hati di 7 lokasi


MOHD Soffi (kiri) bersama Sharifuddin (tiga kiri) melepaskan konvoi selepas pelancaran kempen bersepadu Keselamatan Jalan Raya dan OP Selamat 7/2015 sempena perayaan Aidilfitri di Plaza Tol Gambang, dekat sini hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Sempena musim perayaan ini, pengguna lebuh raya dinasihat agar lebih berhati-hati ketika memandu di 30 lokasi 'black spot' atau kawasan kerap berlaku kemalangan di Pahang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani, berkata tujuh daripada 30 kawasan itu terletak di sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

"Tujuh lokasi berkenaan ialah KM203-204, KM208-209, KM211.9 di kawasan Kuantan, KM182-183, KM159-162 di kawasan Maran, dan KM905-105 serta KM117-118 di kawasan Temerloh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas kempen bersepadu Keselamatan Jalan Raya dan OP Selamat 7/2015 sempena perayaan Aidilfitri di Plaza Tol Gambang, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.


SHARIFUDDIN beramah bermesra dengan pengguna jalan raya selepas pelancaran kempen bersepadu Keselamatan Jalan Raya dan OP Selamat 7/2015 sempena perayaan Aidilfitri di Plaza Tol Gambang, dekat sini hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kempen itu turut disertai beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Mengenai OP Selamat pada tahun ini, Sharifuddin berkata ia membabitkan kekuatan 23 pegawai dan 254 anggota trafik di semua 30 'black spot' berkenaan.

"Sepanjang operasi yang bermula pada 10 Julai sehingga semalam, sebanyak 179 kemalangan berlaku dalam tempoh tiga hari berbanding 180 kemalangan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

"Ini bermakna berlaku penurunan sebanyak satu kes atau 0.6 peratus," katanya.

Katanya, dalam tempoh itu juga sebanyak 1,052 saman telah dikeluarkan berbanding 2,843 saman dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati di jalan raya serta merancang perjalanan agar dapat mengelak dari berlakunya kemalangan.

"Kita sasarkan 'sifar' kemalangan pada tahun ini, namun itu semua terletak di tangan pengguna sama ada mereka mampu mematuhi undang-undang dan mengikut saranan kempen keselamatan yang kita adakan," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X