Selasa, 14 Julai 2015 | 12:01am
ZAKAT fitrah boleh dibayar melalui melalui aplikasi iZakat. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kaedah bayar zakat secara atas talian masih diragui


"BOLEH ke bayar online, macam tidak yakin saja sebab tidak ada akad atau lafaz depan amil pengutip zakat," itu antara persoalan yang dilontarkan seorang rakan ketika bercerita mengenai pembayaran zakat secara online.

Persoalannya ini sukar untuk dijawab, masing-masing ligat memikirkan kebenarannya kerana sedari kecil lagi kita melihat orang membayar zakat perlu bersalam atau akad dengan amil sebelum melafazkan ijab.

Seolah-olah setiap kali kedatangan Ramadan, kelibat amil akan sentiasa dicari, semuanya berpusu-pusu mencari amil dan membayar zakat fitrah dengannya. Paling penting adalah semua perlu bersalam dan melafazkan ijab.

Kini seiring dengan kepesatan teknologi, banyak kemudahan disediakan seperti membayar zakat fitrah secara online dan juga melalui aplikasi pembayaran zakat.

AMIL, Mohd Noor Sanusi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Amil di Masjid Kampung Baru, Mohd Noor Sanusi, 55, menyatakan secara peribadinya beliau lebih memilih cara pembayaran zakat konvensional berbanding pembayaran zakat online.

"Zakat ini adalah salah satu ibadat. Kita kena berusaha untuk mendapatkan ibadat, baru ibadat itu lebih berkat. Selangkah kita bergerak untuk membayar fitrah itu pun sudah di kira pahala.

"Lagipun kalau bayar macam ini boleh jugalah melawat datang ke masjid, jumpa imam atau bilal. Kalau selama ini susah, sibuk sangat nak datang masjid mungkin masa Ramadan ini kesempatan untuk datang," katanya.

Bagi Nor Azam Abdul Hamid, 40an, pula menyatakan bila membayar zakat secara online, kita tidak ada akad lafaz dan tidak tahu pembayaran itu dibuat kepada siapa walaupun secara kasarnya ia dikutip oleh Pusat Pungutan Zakat.

KARIAH Masjid, Nor Azam Abd Hamid. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Bila bayar jumpa amil, kita ada penerima dan menerima. Kalau bayar secara online rasa tidak seronok. Lagipun bila datang bayar ke surau atau masjid, kita boleh dapat pahala lebih lagi.

"Bila bayar online, kadang kala aurat pun belum tentu jaga. Bila bayar online, satu kita tidak jumpa orang, silaturahim itu tidak ada dan kedua kita nak ramaikan orang datang ke surau atau masjid," katanya.

Sementara itu, Mohd Yunar Abdul Rahman pula menyatakan dia tidak pernah mencuba pembayaran zakat secara online walaupun pada pendapatnya cara pembayaran online itu memudahkan.

"Memang mudah kalau bayar online tapi bila kita bayar cara biasa macam ini, jumpa amil semua lagi bagus. Sekurang-kurangnya kalau ada masalah pertanyaan boleh ajukan terus.

"Saya kalau suruh dipilih memang akan pilih bayar secara bersemuka, salam dan ucap lafaz. Ini yang kita buat sejak berzaman lamanya," katanya.

Ramai yang menyatakan pembayaran zakat secara online ini tidak menjadi pilihan utama terutamanya pembayaran zakat fitrah. Apakah pembayaran zakat fitrah secara online ini sebenarnya.

Eksekutif Kanan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP), DziyaulHaq Hashim menyatakan masyarakat sebenarnya keliru dengan cara pembayaran zakat.

PEMBAYARAN zakat fitrah secara konvensional masih menjadi pilihan jemaah di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Ramai di antara masyarakat merasakan akad itu adalah syarat dalam pembayaran zakat fitrah dan merasakan jika menggunakan teknologi untuk membayar zakat, seolah-olah kepuasan itu tidak ada.

"Masyarakat silap dan keliru. Ramai yang keliru mengenai dua perkara iaitu lafaz akad dan niat. Mereka ingat lafaz akad itu wajib, jadi polemik masyarakat perlu salam tangan amil, kalau tidak rasa tak sah niat dan bayaran zakat itu. Tapi sebenarnya dalam Islam lafaz akad itu tidak ada sandaran dan tidak menjadi syarat.

"Sahabat Rasul juga tidak berbuat demikian. Malah ulama juga sepakat menyatakan yang wajib adalah niat. Niat itu maknanya dalam hati, kita berniat membayar zakat adalah kerana kewajipan sebagai umat Islam dan menolong golongan yang memerlukan.

"Lafaz akad ini cuma formaliti, buat kerana nak pastikan ada kesungguhan dalam perbuatan tetapi ia tidak wajib sebenarnya. Yang wajib adalah niat," katanya kepada BH Plus.

DziyaulHaq juga menyatakan jika masyarakat faham mengenai zakat tidak timbul isu meragukan pembayaran secara online kerana Islam itu agama yang mudah dan bersifat menyenangkan.

Katanya, ketika membayar zakat secara online juga, orang yang membayar itu mendapat pahala kerana ada ulama yang menyatakan ketika tangan membayar zakat secara online, gerakan tangan menyentuh papan kekunci dan memasukkan nama juga sudah dikira sebagai pengganti akad lafaz.

JEMAAH masjid membuat pembayaran zakat fitrah ketika tinjauan di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Bila kita tekan 'enter' itulah akad ganti kepada lafaz. Ibarat itulah akad dia tapi andai kata tidak ada juga masih lagi sah. Kepesatan teknologi akan terus berkembang pesat dan Islam akan turut mengikutinya.

"Islam ini sifatnya anjal dan fleksibel. Setiap perkara yang menepati syariah selagi tiada pelanggaran dan menjadi maksiat, ia akan disokong. Segala benda yang mendatangkan manfaat seperti online ini, akan disokong.

"Walaupun mudarat itu ada seperti orang mempertikaikan tapi manfaatnya orang yang sibuk dapat bayar zakat juga. Tidak perlu lagi beratur atau mencari amil di bazar Ramadan. Ia memberi manfaat besar, kerana pada islam itu ada teknologi mengikut kesesuaian dan zaman. Teknologi yang tidak membawa kepada maksiat akan disokong dengan prinsip islam," katanya.

Ketika ditanya mengenai mudarat pembayaran zakat fitrah secara online termasuk berlakunya penipuan seperti seorang individu itu tinggal di Kedah tetapi membayar zakat fitrah online untuk Kuala Lumpur , Ustaz Dziyaul Haq menyatakan hukumnya sah.

ZAKAT fitrah boleh dibayar secara online yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri untuk kemudahan orang ramai. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Katanya hukum zakatnya sah tetapi menyanggah prinsip utama zakat yang sahih. Ini kerana prinsip utama zakat adalah sunnah jika membayar mengikut tempat tinggal atau ada sesetengah pendapat menyatakan afdal membayar di tempat kita berada sewaktu terbenamnya matahari akhir Ramadan.

"Ia senang saja seperti kita menunaikan solat tapi tidak pakai baju, nampak perut dan bulu dada. Hukum solat itu sah tapi sunnah kena pakai elok, cantik dan wangi ketika solat.

"Sama macam zakat, dia boleh bayar online untuk zakat Kuala Lumpur tapi sunnah cakap biar kawasan kita tinggal atau kawasan kita berada akhir Ramadan.

"Sebab itu matlamat zakat adalah mencantum orang sekeliling, yang dekat satu daerah atau negeri. Bukan yang jauh dan tidak pasti. Macam Kuala Lumpur, biar orang sana yang bagi zakat dekat orang miskin, lagi afdal dan mereka lebih dekat.

"Tapi siapa yang nak bayar lebih itu inisiatif sendiri. Macam dia dah bayar online tapi rasa tidak puas tetap nak bayar dengan amil, itu satu perkara yang sangat bagus maknanya bersungguh nak tolong, pahala lipat kali ganda. Itu jaminan dia kepada agama, ada pahala sudah buat online tapi tetap nak bayar jumpa muka amil," katanya.

Berita Harian X