Selasa, 14 Julai 2015 | 12:44pm

Sunway, BH tawar biasiswa calon cemerlang SPM, STPM 2014

PETALING JAYA: Universiti Sunway dengan kerjasama BH kini menawarkan peluang pendidikan tinggi kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014.

Peluang pendidikan menerusi bantuan Biasiswa Sunway-BH itu adalah hasil kerjasama kedua-dua organisasi berkenaan.

Pengarah Eksekutif Kanan, Kumpulan Pendidikan Sunway dan Universiti Sunway, Dr Elizabeth Lee berkata, biasiswa itu akan membiayai pengajian empat pelajar yang menduduki kedua-dua peperiksaan umum itu tahun lalu.

Katanya, bantuan bernilai RM500,000 setahun itu akan diberikan kepada pelajar cemerlang terutama kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Sunway bagi mengikuti program peringkat diploma atau ijazah.

"Kami memberi pilihan sebanyak 17 program untuk dipilih penerima biasiswa ini termasuk diploma (untuk lepasan SPM) dan ijazah (STPM).

"Pemohon mestilah calon yang bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi baik dalam aspek sahsiah dan datang daripada keluarga berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM50,000 setahun.

"Pembiayaan ini akan dikelolakan oleh Yayasan Jeffrey Cheah (JCF). Proses senarai pendek pemohon yang berjaya akan dibuat oleh jawatankuasa pemilihan bersama Sunway-BH selepas tarikh tutup permohonan pada 31 Julai ini," katanya.

Antara program yang ditawarkan untuk biasiswa itu ialah Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perakaunan dan Kewangan serta Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengajian Aktuari.

Selain itu, Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Bioteknologi Perubatan, Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sistem Maklumat, Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Hospitaliti Antarabangsa dan Diploma Seni Kulinari.

Elizabeth berkata, biasiswa ini terbuka kepada semua pembaca BH selagi mereka menepati syarat ditetapkan.

Katanya, menerusi kerjasama dan laporan BH, Universiti Sunway diharap akan dapat menarik lebih ramai pemohon, terutama pembaca setia akhbar berkenaan

Bagi mengetahui senarai lengkap program yang ditawarkan menerusi biasiswa ini dan syarat permohonan, pemohon boleh layari www.sunway.edu.my/biasiswa-bh.

Mereka yang berminat boleh mengisi borang permohonan biasiswa ini dengan memuat turun di laman web berkenaan dan hantarkan ke alamat Biasiswa Sunway-BH, Kiosk Pendidikan BH, The New Straits Times Press (M) Berhad, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Berita Harian X