Selasa, 14 Julai 2015 | 6:33pm

Najib lancar Perbadanan Wakaf Nasional Bhd


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Perbadanan Wakaf Nasional Bhd (PWNB) dan Program Wakaf Korporat bagi meneruskan usaha kerajaan memperjuang dan memperbaiki tahap ekonomi Bumiputera.

Katanya, PWNB, sebuah syarikat subsidiari milik penuh Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), diamanahkan untuk menjadi pelaksana kepada program Wakaf Korporat.

"PWNB akan mengenal pasti dan melaksanakan pembelian atau pembangunan projek manakala Yayasan Wakaf akan menyalurkan dana bagi membiayai projek tersebut," katanya pada majlis pelancaran itu di Perdana Putra di sini hari ini.

Najib berkata pada Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Januari lepas, MEB meluluskan peruntukan RM50 juta kepada YWM sebagai dana permulaan bagi melaksanakan Program Wakaf Korporat bagi tempoh pelaksanaan selama lima tahun bermula tahun ini hingga 2019.

"Agenda pembangunan wakaf ini turut dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

"Yayasan Wakaf Malaysia bersama Majlis-majlis Agama Islam Negeri dan institusi berasaskan Bumiputera yang lain akan bekerjasama untuk membangunkan sektor hartanah dan tanah wakaf," katanya.

Najib berkata, melalui penglibatan pelbagai pihak dalam usaha kerajaan itu, termasuk sektor korporat dan masyarakat, program Wakaf Korporat dilihat mampu mewujudkan sebuah ekosistem hasil yang mampan.

"Untuk tahun ini, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan senarai 20 teratas syarikat berkaitan kerajaan (G20), melalui pihak pengurusan dan lembaga pengarah masing-masing sudah menetapkan dan sedang melaksanakan petunjuk prestasi utama (KPI) program Bumiputera ini.

"Secara keseluruhan, Majlis Ekonomi Bumiputera telah meneliti dan mengambil maklum, dengan inisiatif untuk Bumiputera pada 2015 dianggarkan berjumlah RM46 bilion.

"Jumlah ini adalah tambahan sederhana daripada 2014, namun adalah peningkatan yang besar iaitu 35 daripada RM34.2 bilion pada tahun asas 2013," kata Perdana Menteri.

Najib berkata, antara inisiatif yang ditekankan pada tahun ini ialah usaha syarikat GLIC dan GLC untuk menyumbang dan membendung isu siswa menganggur dengan siswa yang dilatih dalam program Skim Latihan 1Malaysia ditingkatkan dua kali ganda daripada 4,500 pada 2015 kepada 10,000 tahun ini membabitkan kos sebanyak RM250 juta.

Daripada jumlah ini, kata Perdana Menteri, 70 peratus atau 7,000 siswa dilatih oleh syarikat GLIC dan GLC.

- BERNAMA

Berita Harian X