Rabu, 15 Julai 2015 | 11:16am

Rusuhan Low Yat: Polis tahan Papa Gomo - KPN

KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis sudah menahan 26 individu termasuk pengendali laman blog Papa Gomo berhubung insiden pergaduhan di Plaza Low Yat.

Beliau berkata, polis juga sedang memburu beberapa individu lain termasuk seorang Ketua Bahagian satu parti politik di Pulau Pinang yang aktif menyebarkan berita palsu dan menghasut di media sosial.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menghasut ataupun menyebarkan maklumat palsu mengenai insiden itu," katanya selepas melancarkan Kempen Balik Kampung Ops Selamat 7/2015 di Plaza Tol Gombak pagi ini.

Wan Mohd Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, ditahan dirumahnya malam tadi mengikut Akta Hasutan.

Papa Gomo didakwa mengirimkan gambar seorang lelaki Melayu yang cedera dalam blognya, dengan mendakwa lelaki itu adalah mangsa dalam rusuhan di Plaza Low Yat.

Polis dijangka membawa Papa Gomo untuk mendapatkan perintah tahanan reman hari ini.

Berita Harian X