Rabu, 15 Julai 2015 | 5:46pm

116 kematian dicatat 5 hari Op Selamat


KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kiri) di sidang media kempen balik kampung Ops Selamat di Tol Gombak. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Sebanyak 7,274 kes kemalangan dan 116 kematian dicatatkan dalam tempoh lima hari Op Selamat 7/2015 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata daripada jumlah itu, 47 kematian dicatatkan di jalan persekutuan, disusuli jalan-jalan negeri (26), lebuh raya (18), jalan bandaran (13) dan jalan-jalan lain (12).

Johor dan Selangor antara negeri merekodkan jumlah kematian tertinggi, masing-masing 20 dan 17, katanya pada sidang media Kempen Balik Kampung Op Selamat 7/2015 di Plaza Tol Gombak di sini, hari ini.

"Penunggang dan pembonceng motosikal masih merupakan kematian tertinggi dengan 69 kes atau 59 peratus diikuti motokar dengan 25 kes atau 21 peratus," katanya.

Khalid berkata, sehingga semalam, 301 saman dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya yang menggunakan lorong kecemasan manakala 1,880 saman lagi ke atas pemandu yang memotong barisan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, angka kemalangan dan kematian bagi tempoh berkenaan adalah jauh lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu 7,153 kes dan 86 kematian.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai amat membimbangkan.

"Saya minta Cawangan Trafik meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan di kawasan 'black spots' di mana kemalangan kerap terjadi," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X