Khamis, 16 Julai 2015 | 6:13am
SEORANG lelaki maut manakala dua cedera parah dan dua lagi cedera ringan selepas terbabit kemalangan di jalan Guar Chempedak-Yan, Kampung Teroi, Guar Chempedak,Yan, kira-kira jam 3.40 pagi tadi. - Foto NSTP
BOMBA sedang memeriksa kenderaan yang terlibat dalam kemalangan. - Foto NSTP

Kereta terbenam dalam parit, seorang maut, 4 cedera

ALOR SETAR: Seorang lelaki maut manakala dua cedera parah dan dua lagi cedera ringan selepas terbabit kemalangan di jalan Guar Chempedak-Yan, Kampung Teroi, Guar Chempedak,Yan, kira-kira jam 3.40 pagi tadi.

Kejadian membabitkan sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih, dinaiki lima lelaki berusia 20-an sedang dalam perjalanan menuju ke arah Yan.

Bagaimanapun, sebaik sampai di lokasi kejadian, kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar sebatang pokok dan terbenam di dalam parit.

Dua daripada mangsa tercampak keluar manakala tiga lagi tersepit di dalam kereta terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Safuwan Md Saad, berkata dalam kejadian itu, seorang lelaki yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan mati di tempat kejadian, manakala pemandu dan seorang lagi penumpang belakang cedera parah.

Katanya, dua lagi mangsa yang tercampak keluar hanya mengalami cedera ringan.

"Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Yan pada kira jam 5.16 pagi tadi.

" Kita mendapat panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.41 pagi tadi dan tiba di lokasi pada jam 3.51.

"Operasi menyelamat mengambil masa lebih satu jam. Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Yan," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X