Khamis, 16 Julai 2015 | 12:24pm

Orang Utan cedera parah, pihak bertanggungjawab dicari

BELURAN: Seekor Orang Utan diselamatkan Jabatan Hidupan Liar Sabah selepas ditemui parah dengan kesan parang dan dicucuk dengan objek tajam di sebuah kebun kelapa sawit di Kilometer 65, Jalan Sandakan-Kota Kinabalu, dekat sini, Isnin lalu.

Orang Utan jantan terbabit diselamatkan Unit Penyelamat Hidupan Liar selepas menerima laporan daripada pemilik kebun mengenai kehadiran haiwan berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.

Pemeriksaan oleh Pegawai Veterinar Hidupan Liar, Dr Laura Benedict, mendapati Orang Utan terbabit luka di bahagian bahu kanan berukuran 13 sentimeter panjang dipercayai kesan parang, manakala empat lagi luka di bahagian dahi disebabkan dicucuk menggunakan objek tajam.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, William Baya, berkata Orang Utan terbabit dipindahkan ke Klinik Hidupan Liar di Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok di Sandakan untuk rawatan dan pemerhatian lanjut.

Katanya, haiwan terbabit diberikan rawatan serta-merta di lokasi ditemui dan kini beransur pulih.

"Ketika ditemui, Orang Utan itu berada dalam keadaan kritikal berikutan kehilangan banyak bendalir dalam badan selain terkena cuaca panas.

"Kita ada pasukan veterinar yang bertugas 24 jam untuk merawat dan memerhatikan haiwan itu. Keadaannya beransur pulih tetapi masih kritikal," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

William berkata, selain mengalami demam panas, Orang Utan itu pengsan dipercayai kekurangan bendalir dalam badan dan terkena jangkitan kuman akibat luka teruk.

Katanya, beberapa langkah sudah diambil, termasuk rawatan kecemasan dengan memberi bendalir, ubat penahan sakit menerusi saluran darah dan diletakkan di bawah pemerhatian rapi oleh pasukan veterinar berkenaan.

"Laporan polis sudah dibuat. Kita beri keutamaan terhadap kes ini dan akan siasat sehingga menemui individu bertanggungjawab mencederakan haiwan terbabit," katanya.

William berkata, Orang Utan disenaraikan sebagai spesies terancam yang dilindungi sepenuhnya mengikut Jadual Satu Bahagian Satu Enakmen Pemulihan Hidupan Liar 1997, yang memperuntukkan enam bulan hingga lima tahun penjara atau denda sehingga RM50,000.

Berita Harian X