Jumaat, 17 Julai 2015 | 12:07am
PULUHAN gerai kecil menjual mentarang di sepanjang Jalan Pasir Panjang. - Foto Zunnur Al Shafiq
PULUHAN gerai kecil menjual mentarang di sepanjang Jalan Pasir Panjang. - Foto Zunnur Al Shafiq
RASA mentarang yang enak membuatkan ramai meminatinya. - Foto Zunnur Al Shafiq
RASA mentarang yang enak membuatkan ramai meminatinya. - Foto Zunnur Al Shafiq
MOHD Ali Harun (tengah) bersama Adam Majid dan Sham Nordin (kiri) gigih mencari mentarang dalam kepekatan malam. - Foto Zunnur Al Shafiq
MOHD Ali Harun (tengah) bersama Adam Majid dan Sham Nordin (kiri) gigih mencari mentarang dalam kepekatan malam. - Foto Zunnur Al Shafiq

Mentarang pupus, punca harga semakin mahal

MENYUSURI Jalan Pasir Panjang di antara pekan Sekinchan dan Sungai Besar, Selangor, pasti ramai yang dapat melihat papan tanda tertulis perkataan 'mentarang' pada puluhan gerai kecil.

Mungkin bagi yang tidak pernah mendengar perkataan ini, tertanya-tanya apakah mentarang ini, tambah pula ada papan tanda yang tertulis `mentarang' dan ada juga `mentarang bakar'.

Mentarang boleh disifatkan sebagai makanan eksotik, hanya terdapat di pesisir pantai sekitar Kuala Selangor dan beberapa tempat di Kuala Perlis dan Kedah.

Inilah istimewanya makanan laut yang mempunyai cengkerang yang agak nipis tetapi berduri tajam. Harganya pula ketika ini mencecah lebih RM15 sekilogram.

Jika mentarang gred A, satu kilogram hanya boleh dapat lima atau enam mentarang saja. Terfikir juga apakah yang menyebabkan makanan laut ini mempunyai harga yang sangat tinggi?

MENTARANG boleh disifatkan sebagai makanan eksotik, hanya terdapat di pesisir pantai sekitar Kuala Selangor dan beberapa tempat di Kuala Perlis dan Kedah. - Foto Zunnur Al Shafiq
MENTARANG boleh disifatkan sebagai makanan eksotik, hanya terdapat di pesisir pantai sekitar Kuala Selangor dan beberapa tempat di Kuala Perlis dan Kedah. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kebanyakan penjual mentarang di Kuala Selangor menyatakan mentarang menjadi mahal kerana ia kini sukar untuk didapatkan. Bukan sahaja kerana hidupan ini semakin berkurangan, malah untuk mendapatkannya, perlu `menjelajah' kira-kira dua kilometer dari pantai ketika air surat.

BH Plus mendekati sendiri pengalaman mencari makanan laut istimewa ini di pesisir Pantai Jeram dan menyelami kisah si pencari mentarang.

Disebabkan kedatangan kami ketika itu di bulan Ramadan, aktiviti mencari mentarang dijalankan pada waktu malam selepas jam 10 malam, ketika air surut.

Dengan bantuan seorang penjual mentarang, Sazali Zainal, kami dibawa pergi ke rumah pencari mentarang, Mohd Ali Harun, 55.

Ketika itu, waktu baru menunjukkan jam 9 malam, Mohd Ali Harun yang mesra disapa Pak Ali sedang bersiap-siap untuk turun ke laut mencari mentarang.

Sebelum bersedia turun Pak Ali memberitahu serba sedikit mengenai pencarian mentarang. Katanya, perlu memakai kasut getah dan sarung tangan kerana mentarang ini tajam selain kedudukannya menegak di dalam selut.

KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Ternyata bukan mudah untuk mencari mentarang kerana selain cabaran perlu turun ketika malam, hanya berbekalkan lampu suluh, pencari mentarang perlu mengharungi selut sehingga ke paras pinggang. Tidak cukup dengan itu, mereka perlu berjalan di dalam selut sejauh dua kilometer dari pantai.

"Jika dulu, memang mentarang ini kita boleh jumpa pesisir pantai tapi kini jika ingin mencari mentarang yang besar, perlu meredah selut jauh dalam dua kilometer.

"Nak cari mentarang perlu waktu air surut. Kawasan ini kalau air surut boleh pergi sehingga tiga kilometer jauh dari pantai. Kalau tak larat jalan, kita boleh naik tongkah. Kita naik atas kayu tongkah dan tolak guna kaki," katanya.

Sekali turun ke laut, Pak Ali boleh mendapatkan hasil tangkapan sehingga 10 kilogram. Bayangkan dengan hasil tangkapan seberat itu, berada di tengah laut di waktu malam, dibuai angin malam yang mencengkam sehingga ke tulang dan hanya berpandukan pengalaman saja.

MOHD Ali Harun. - Foto Zunnur Al Shafiq
MOHD Ali Harun. - Foto Zunnur Al Shafiq

Pak Ali menyatakan, kawasan selut yang kebiasaannya terdapat mentarang itu jika ketika air laut kembali pasang, ia boleh berkedalaman setinggi rumah.

Perasaan teruja kami untuk mengikuti Pak Ali mencari mentarang di waktu malam terus terbantut. Memikirkan berada di tengah laut yang gelap dan sejuk. Terus teringat kata orang tua, tengah laut ini, kawasan jin suka bermain.

Ketika diajukan mengenai adakah terdapatnya perkara mistik dalam mencari mentarang, isteri Pak Ali, Aina Mohd Yatim, yang juga pencari mentarang menyatakan banyak kejadian aneh dan mistik berlaku.

Aina menyatakan tidak kira mencari mentarang ketika siang ataupun malam, kejadian mistik tidak pernah mengenal waktu dan sebagai pencari mentarang, mereka perlu memperkuatkan diri.

"Kadang-kadang kita rasa seronok duduk tengah laut. Walaupun ketika itu matahari memancar terik, tapi bila kita cari mentarang tidak rasa panas. Sejuk, redup dan tenang saja.

"Walaupun duduk setempat tapi boleh dapat banyak mentarang. Tidak perlu bergerak ke sana sini. Ini kadang kala boleh buatkan orang lalai. Bila sedar air sudah pasang. Ada kejadian, pencari mentarang boleh tertidur di tengah laut.

"Ada juga kejadian kami mendengar seperti bisikan suara orang dan terbau wangian. Paling banyak kejadian mistik adalah berhampiran sebuah pulau di sekitar sini," katanya.

Terdapat sebuah pulau yang tidak berpenghuni di kawasan Pantai Jeram, yang sering dikaitkan dengan pelbagai cerita mistik dalam kalangan nelayan tempatan.

Aina menyatakan pernah beberapa kali mereka terhidu bau nasi dimasak atau terdengar suara orang ketika mencari mentarang berhampiran pulau itu.

"Kalau sesat itu perkara biasa. Turun tempat lain tapi bila nak ke darat sudah pergi ke tempat lain. Tapi kita tahu niat nak cari rezeki. Kena tawakal dan kuatkan semangat. Sebab itu, tidak semua boleh melakukan pekerjaan seperti ini. Selain cabaran mencari mentarang, cabaran mistik tidak terkecuali.

"Mentarang ini pun kalau tidak pandai mencari, memang akan berdarah tangan dan kaki sebab ia tajam. Sebab itu, makin lama harga mentarang makin naik," katanya.

Selain faktor mencari mentarang yang agak mencabar, kepupusan mentarang juga menjadi faktor peningkatan harga mentarang di pasaran.

SAZALI bersama isteri, Faridah menjual mentarang mentah dan juga yang telah dimasak di Sungai Besar. - Foto Zunnur Al Shafiq
SAZALI bersama isteri, Faridah menjual mentarang mentah dan juga yang telah dimasak di Sungai Besar. - Foto Zunnur Al Shafiq

Penjual mentarang, Sazali menyatakan sukar untuk menentukan harga mentarang dijual kepada pelanggan kerana mereka juga perlu membeli mentarang dengan harga yang mahal daripada pencari.

Sazali yang juga pengusaha restoran Faridah Mentarang menyatakan, jika terlalu mahal dikhuatiri pelanggan tidak akan mahu membeli dan jika terlalu murah pula, ia boleh menimbulkan kesukaran kepada penjual mentarang sepertinya.

"Mentarang memang laku. Kalau orang yang suka kerang dah pernah makan ni (mentarang), mungkin kini dia lebih menggemari mentarang sebab isinya lebih manis.

"Tapi harga itu makin meningkat naik. Sebab itu kami perlu bijak dalam mengatur macam mana nak jual mentarang ini. Kalau tidak rasa kesian dekat pelanggan bayar mahal tapi dapat sikit saja mentarang," katanya.

INFO: Mentarang

  • Nama saintifiknya 'Pholas orientalis'
  • Hanya boleh ditemui di pantai berselut
  • Siput akan menggali ke dalam lumpur sedalam 0.3 meter dan berada di situ
  • Bersaiz sekitar 2.5 inci hingga lima inci (6.1 sentimeter - 13 sentimeter) mengikut usia
  • Suhu habitat paling sesuai antara 28 hingga 30 darjah Celsius dengan tahap kemasinan 30-35 bahagian per ribu (part per thousand - ppt)
  • Lazimnya ditemui pada Julai, Ogos dan September
Berita Harian X